Isu Jalur Gemilang: Patriotisme tak boleh berubah ikut warna politik - Dr Sathia

Dr Sathia
Dr Sathia
A
A
A

SHAH ALAM - Prinsip keadilan sama rata perlu digunakan dalam menilai sebarang kes membabitkan kesilapan Jalur Gemilang tanpa mengira parti politik atau negeri.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menegaskan, kesalahan membabitkan bendera negara tidak seharusnya dilihat serius apabila dilakukan oleh pihak yang tidak disokong, tetapi dianggap kecil apabila berlaku dalam lingkungan sendiri.

"Jalur Gemilang bukan milik Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN). Ia maruah 34 juta rakyat Malaysia.

"Kalau benar ia rosak akibat ribut, siasat, jelaskan dan perbetulkan. Itu tindakan yang wajar.

"Tetapi prinsip yang sama mesti digunakan kepada semua orang, semua negeri dan semua parti,” katanya kepada media pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pemasangan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang di Dataran Batu Burok, Terengganu pada Jumaat lalu.

Isu kesilapan simbol bendera rasmi negara itu mendapat perhatian susulan penjelasan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Dr Sathia, masyarakat tidak seharusnya membiarkan emosi politik mempengaruhi penilaian terhadap sesuatu isu sehingga fakta diketepikan.

“Jangan biarkan fikiran kita dimainkan sehingga satu kesalahan nampak sangat besar apabila dilakukan oleh pihak yang kita tidak suka, tetapi tiba-tiba menjadi kecil apabila berlaku kepada pihak yang kita sokong.

Artikel Berkaitan:

"Jangan hari ini kita menghukum orang dengan penuh kemarahan, kemudian esok apabila perkara hampir sama berlaku di depan mata sendiri, kita mencari seribu alasan," katanya.

Beliau berkata, rakyat juga perlu berhati-hati dengan naratif yang diulang berkali-kali sehingga akhirnya emosi mengambil alih fakta.

“Hari ini rakyat boleh menilai sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sathia menegaskan Jalur Gemilang merupakan simbol negara dan tidak sepatutnya dijadikan ukuran berdasarkan kecenderungan politik.

“Bendera kita satu. Negara kita satu. Maka ukuran kita juga mesti satu.

“Patriotisme tidak boleh berubah mengikut warna baju politik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!