Pencarian Chef Cilik Subi satukan keluarga di dapur

DAPUR bukan sekadar tempat menyediakan hidangan, sebaliknya boleh menjadi ruang untuk ibu bapa dan anak-anak berinteraksi, bekerjasama serta mencipta kenangan bersama.
Atas kesedaran itu, Subi, jenama di bawah Pacific West Foods (M) Sdn Bhd, menganjurkan Pencarian Chef Cilik Subi bagi menggalakkan keluarga meluangkan lebih banyak masa berkualiti menerusi aktiviti memasak.
Pengurus Besar Pacific West Malaysia, Joseph Lim berkata, idea penganjuran program itu tercetus daripada realiti kehidupan masa kini apabila penggunaan gajet dan peranti digital semakin menjadi sebahagian daripada rutin harian keluarga.
“Kami percaya bahawa meluangkan masa bersama di dapur merupakan salah satu cara terbaik untuk ibu bapa dan anak-anak berinteraksi, bekerjasama dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Justeru, kami mahu mewujudkan sebuah platform yang menggalakkan keluarga meluangkan masa berkualiti bersama melalui aktiviti memasak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pencarian Chef Cilik Subi dan Penutup Roadshow Subi di Mydin USJ di Subang Jaya, Selangor.
Menurutnya, pertandingan berkenaan dianjurkan hasil kerjasama Subi, Mydin dan Malaysian Indian Chefs Association (MICA) dengan matlamat menggalakkan budaya memasak dalam kalangan keluarga selain memupuk minat terhadap penyediaan makanan yang sihat dan berkualiti.
Katanya, pemilihan Mydin sebagai rakan strategik juga bersesuaian dengan usaha mendekati lebih ramai keluarga Malaysia menerusi rangkaian pasar rayanya.
“Sebagai salah sebuah rangkaian pasar raya yang mempunyai antara profil pembeli keluarga terbesar di Malaysia, Mydin merupakan platform yang amat sesuai untuk kami mendekati keluarga-keluarga Malaysia dan menggalakkan lebih ramai ibu bapa serta anak-anak menyertai aktiviti yang menyeronokkan dan bermakna seperti ini,” jelas Joseph.
Beliau berkata, Pencarian Chef Cilik Subi tidak hanya memberi tumpuan kepada kemahiran menghasilkan hidangan terbaik, sebaliknya turut membuka ruang kepada kanak-kanak membina kreativiti, imaginasi dan keyakinan diri.
“Apa yang membezakan Pencarian Chef Cilik Subi daripada pertandingan memasak yang lain ialah pertandingan ini bukan semata-mata mencari siapa yang menghasilkan hidangan terbaik atau siapa yang paling hebat memasak.
“Sebaliknya, ia memberi ruang kepada setiap kanak-kanak untuk menyerlahkan kreativiti, imaginasi dan keyakinan diri mereka di dapur, sambil belajar bekerjasama dengan insan yang paling rapat dalam hidup mereka,” katanya.

Menurutnya, pengalaman yang dilalui ibu bapa dan anak-anak sepanjang pertandingan itu menjadi nilai lebih besar berbanding trofi atau hadiah yang dimenangi.
“Kami berharap setiap resipi yang dihasilkan hari ini bukan sahaja menghasilkan hidangan yang lazat, malah mencipta kenangan manis dan memori yang akan kekal terpahat dalam ingatan setiap keluarga untuk tahun-tahun yang akan datang.
“Kerana pada akhirnya, kemenangan sebenar bukan hanya terletak pada trofi atau hadiah yang dibawa pulang, tetapi pada senyuman, gelak tawa dan pengalaman berharga yang dikongsi bersama insan tersayang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Roadshow Subi yang bermula pada 31 Julai di Mydin USJ mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Sepanjang program itu, pelanggan berpeluang mengenali rangkaian produk Subi menerusi sesi merasa produk, promosi istimewa serta demonstrasi masakan oleh Duta Jenama Subi, Chef Alwi dan pasukan Subi.
Beliau berkata, Subi turut memperluaskan rangkaian produknya sepanjang tahun lalu dengan memperkenalkan lima produk baharu sebagai pelengkap kepada pilihan sedia ada.
Antara inovasi terkini ialah Seafood Fries, Tom Yum Seafood Nuggets serta rangkaian Seafood Patty dalam pilihan ikan, udang dan sotong.
“Penambahan ini mencerminkan komitmen kami untuk terus berinovasi, menawarkan lebih banyak pilihan makanan laut yang lazat, berkualiti tinggi dan mudah disediakan, sekali gus memenuhi keperluan pengguna serta memastikan makanan laut berkualiti dapat dinikmati oleh setiap keluarga di Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

