PRN Melaka: Runding tak semesti dimuktamad sebagai rakan kongsi - Ab Rauf

MELAKA - “Barisan Nasional (BN) terbuka untuk berunding, namun perundingan itu tidak semestinya dimuktamadkan sebagai rakan kongsi.”
Demikian kata Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung kesediaan parti itu menjalin kerjasama politik dengan parti lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Menurutnya, banyak faktor akan diambil kira sebelum menentukan rakan kongsi, termasuk kekuatan dan kelemahan sesebuah parti bagi memastikan kerjasama itu dapat menghasilkan politik yang baik untuk Melaka.
“Saya mengalu-alukan kepada semua yang nak menjurus kepada Pilihan Raya Negeri Melaka ini, kalau misal kata ada hasrat untuk kebersamaan, saya buatkan satu ruang yang terbuka untuk berunding.
“BN sedia berunding. (Soal pembahagian kerusi) masa kita duduk nanti baru kita cakap. Saya pun tak tahu kerusi mana yang dia nak pilih. Sebab itu saya tak nak berunding dalam media sosial,” katanya.
Mengulas kenyataan beberapa pimpinan parti politik yang turut berminat untuk mengadakan rundingan, beliau berkata, perkara itu perlu dibuat menerusi rundingan rasmi dan bukan melalui kenyataan di media sosial yang tidak membawa kepada penyelesaian.
Bagaimanapun katanya, setakat itu belum ada mana-mana wakil parti sama ada PH mahupun Perikatan Nasional (PN) tampil untuk rundingan.
“Saya selalu tegaskan bahawa kita jangan buat rumusan dalam apa juga perbincangan yang tidak ada rasminya.
“Saya selalu kata, kali ini kita bernikah biar berkadi, biar bersaksi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

