PRN Melaka: Pas sedia runding agihan kerusi dengan UMNO

KOTA BHARU – Pas bersedia mengadakan rundingan dengan UMNO bagi menentukan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk mempertimbangkan semula kedudukan kerusi yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rundingan berhubung perkara itu dijangka diadakan dalam masa terdekat, namun belum ada tarikh khusus ditetapkan.
Menurut beliau, rundingan akan dibuat di peringkat Pas dan Perikatan Nasional (PN), namun buat masa ini tidak membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Di pihak Pas telah diputuskan kita masih lagi dibenarkan untuk berunding ataupun diminta untuk berunding dengan UMNO mengikut kedudukan kerusi itu.
"Dalam waktu terdekatlah. Ketika ini belum memulakan rundingan secara terperinci dengan UMNO berhubung sasaran kerusi untuk PN di Melaka.
"Pembahagian kerusi tidak semestinya menggunakan konsep sama seperti yang dipersetujui dalam rundingan di Negeri Sembilan kerana kedudukan kerusi di Melaka adalah berbeza," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Panatia Induk Muktamar Tahunan Pas Kelantan Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini pada Ahad malam.
Mengulas kedudukan Melaka, Takiyuddin memberitahu, antara perkara yang perlu dibincangkan ialah status kerusi Rumbia yang dimenangi UMNO pada PRN Melaka 2021 sebelum penyandangnya menyertai Pas.
Ujarnya, ketika penyandang kerusi berkenaan menyertai Pas, undang-undang berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti belum berkuat kuasa.
"Adakah dia itu menjadi kerusi UMNO juga? Walaupun dia masuk Pas, ataupun kerusi tu akan dianggap kerusi Pas? Itu dalam perundinganlah, kita tak putus lagi," katanya.
Selain itu, menurut beliau, faktor keputusan PRU15 turut menjadi asas perbincangan kerana Pas memenangi dua daripada enam kerusi Parlimen di Melaka pada pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata, pada PRU15, Bersatu memenangi satu kerusi Parlimen, PKR (1), DAP (1) dan Amanah (1), manakala UMNO tidak memenangi kerusi Parlimen di negeri itu.
"Walaupun Pas ada kerusi DUN, tapi Pas ada dua Parlimen. Jadi itu benda-benda yang akan kita bincang, belum diputuskan lagi.
"Bukan kata tetap dan putus dah, tak ada. Itu benda-benda yang kita akan jadikan asas perbincangan kita," katanya.
Takiyuddin memberitahu, sekiranya mengambil kira kedudukan semasa, UMNO mempunyai 20 atau 21 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, manakala baki kerusi membabitkan DAP, Amanah dan PKR.
Katanya, perkara itu juga akan dibincangkan bersama UMNO dan belum ada sebarang keputusan muktamad mengenainya.
"Pokoknya kita belum bincang secara mendalam dan akan bincang dengan UMNO," katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, pendekatan rundingan di Negeri Sembilan sebelum ini boleh dijadikan gambaran bagaimana isu agihan kerusi dibincangkan, namun ia tidak semestinya diterapkan sepenuhnya di Melaka.
Bagaimanapun, ujar beliau, kedudukan di Melaka perlu diteliti berdasarkan perkembangan politik negeri itu dan keputusan pilihan raya sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

