Sindiket culik umpan mangsa dengan tawaran kerja, teman sosial sebelum dikurung

Kumar
Kumar
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan serta perkhidmatan teman sosial antara modus operandi sindiket penculikan yang tumpas selepas polis menyelamatkan empat mangsa di Kedah dan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, sindiket terbabit dipercayai mencari mangsa menerusi platform media sosial sebelum menawarkan pekerjaan atau menjanjikan perkhidmatan teman sosial.

Menurutnya, mangsa yang percaya dengan tawaran berkenaan akan didampingi ahli sindiket sebaik tiba di Malaysia sebelum dibawa ke sebuah rumah.

"Modus operandi kumpulan ini adalah mereka akan berhubung dengan mangsa melalui WeChat dan media sosial dengan menawarkan pekerjaan atau menjanjikan teman sosial.

"Apabila mangsa sampai di negara kita, salah seorang ahli sindiket akan mendampingi mangsa, memperkenalkan diri dan seterusnya membawa mangsa ke sebuah rumah untuk dikurung,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika serbuan bagi menyelamatkan dua mangsa culik di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam, ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menjalankan operasi menyelamat mangsa di sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Kumar berkata, polis percaya mangsa dipindahkan dari satu rumah ke satu rumah bagi mengelakkan kegiatan sindiket dikesan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Kumar menunjukkan antara peralatan dirampas termasuk senjata digunakan suspek ketika serbuan dijalankan polis, Jumaat lalu.
Kumar menunjukkan antara peralatan dirampas termasuk senjata digunakan suspek ketika serbuan dijalankan polis, Jumaat lalu.

Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa lelaki warga Singapura berusia 72 tahun merupakan konsultan yang sudah bersara di Singapura dan ditawarkan pekerjaan sebagai konsultan di Malaysia dengan gaji lumayan.

"Gaji yang ditawarkan adalah beberapa ribu ringgit. Sindiket akan mencari mangsa secara dalam talian menerusi WeChat dan sebagainya sebelum menawarkan pekerjaan.

"Mangsa yang terpedaya akan terjerat dengan tawaran sindiket ini, termasuk tawaran gaji yang tinggi," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket turut menuntut wang tebusan SGD1 juta daripada keluarga mangsa warga Singapura itu.

"Keluarga mangsa telah membuat tiga pembayaran berjumlah kira-kira SGD15,000 ke dalam akaun milik mangsa yang ketika itu dikawal suspek.

"Permintaan SGD1 juta itu tidak dipenuhi, bagaimanapun, kira-kira SGD15,000 telah dibayar dan rundingan masih berjalan ketika itu," katanya.

Bagi mangsa wanita warga China pula, Kumar berkata, sindiket meminta wang tebusan AS$20,000 daripada keluarganya di China, namun bayaran berkenaan belum dibuat.

"Setakat hasil siasatan sehingga hari ini, pembayaran masih belum dibuat dan kita berjaya menyelamatkan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Kumar berkata, polis percaya sindiket berkenaan turut mempunyai beberapa lokasi sewaan lain di Pulau Pinang sebelum mangsa dipindahkan ke Kedah.

Katanya, rumah yang digunakan untuk mengurung mangsa di Telaga Bata, Alor Setar serta sebuah lagi rumah yang menjadi lokasi tangkapan enam suspek disewa melalui platform Airbnb.

"Rumah yang kita selamatkan mangsa itu disewa melalui Airbnb pada 7 Ogos dan sepatutnya daftar keluar pada 8 Ogos.

"Rumah yang kita tangkap enam suspek itu juga mempunyai tarikh sewaan yang sama. Hasil risikan, kita dapati terdapat beberapa lokasi lain disewa di Pulau Pinang sebelum mangsa-mangsa digerakkan ke Kedah,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan turut mendedahkan kumpulan sama dipercayai terbabit dalam dua lagi kes penculikan di Kuala Lumpur pada Julai lalu.

"Dalam satu daripada kes itu, seorang mangsa berjaya melarikan diri sebelum membuat laporan polis, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan polis dan kedua-dua mangsa terbabit adalah warga China," katanya.

Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!