Penyewa gagal patuh notis pengalihan sisa, SWCorp buka siasatan

SWCorp Johor membuka kertas siasatan berhubung kegagalan penyewa tanah mematuhi notis pengalihan sisa pepejal terkawal di Kampung Sinaran Baru, Kempas. Gambar kiri: Zainal Fitri.
SWCorp Johor membuka kertas siasatan berhubung kegagalan penyewa tanah mematuhi notis pengalihan sisa pepejal terkawal di Kampung Sinaran Baru, Kempas. Gambar kiri: Zainal Fitri.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor membuka kertas siasatan berhubung kegagalan penyewa tanah mematuhi notis pengalihan sisa pepejal terkawal di Kampung Sinaran Baru, Kempas di sini.

Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 75 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan pendakwaan.

“Siasatan dibuka kerana gagal mematuhi notis untuk menghantar sisa pepejal terkawal dalam milikannya ke tapak pelupusan.

“Hukumannya boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, SWCorp menyerahkan notis pengalihan kepada penyewa tanah pada 18 Mei lalu dan memberi tempoh dua minggu bagi melaksanakan kerja pembersihan di tapak berkenaan.

Menurut Zainal Fitri, lawatan kedua yang dijalankan pada 4 Jun mendapati kerja pembersihan sudah dilaksanakan, namun penyewa memohon tambahan masa untuk membersihkan keseluruhan kawasan.

“Bagaimanapun, lawatan terkini pada 3 Ogos mendapati masih belum dibersihkan sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, amaran tegas diberikan kepada penyewa supaya melaksanakan kerja pembersihan secara menyeluruh dengan kadar segera.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lebih 10,000 penduduk di empat kampung sekitar Kempas berdepan kebimbangan susulan aktiviti pembakaran barangan lusuh berhampiran saluran paip gas bawah tanah.

Artikel Berkaitan:

Penduduk mendakwa, aktiviti pembakaran itu sudah berlarutan lebih setahun dan semakin kerap berlaku sejak seminggu lalu.

Mereka bimbang aktiviti itu boleh mencetuskan kejadian letupan seperti insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Puchong, Selangor, selain pencemaran bau akibat pembakaran barangan seperti kuprum dan getah serta sisa pemprosesan ayam yang tidak diurus dengan baik sehingga mengundang kehadiran lalat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!