Berapa nyawa lagi nak melayang?

SETIAP kali Himpunan RXZ Members berlangsung, rakyat seolah-olah sudah boleh menjangka dua perkara.
Pertama, lautan motosikal yang memenuhi jalan raya membanjiri media sosial. Kedua, satu demi satu kemalangan maut dilaporkan, ribuan saman dikeluarkan dan ratusan motosikal disita.
Bekas Mufti Terengganu, Profesor Datuk Dr Mohamad Sabri Haron sendiri menegaskan acara yang menghimpunkan peminat motosikal Yamaha RXZ itu dilihat membawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat kepada masyarakat, khususnya umat Islam.
Tahun ini juga tidak terkecuali. Enam nyawa melayang. Sebanyak 222 motosikal disita, manakala 1,850 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang dua hari penganjuran Himpunan RXZ Members 8.0 di Terengganu. Itu bukan angka kecil.
Persoalannya, sampai bila kita mahu menganggap semua ini sebagai perkara biasa?
Setiap kali tragedi berlaku, alasan yang diberikan hampir sama. Kemalangan berlaku di luar kawasan acara. Salah penunggang. Salah individu. Salah sikap.
Memang benar, undang-undang tidak pernah memaksa sesiapa memulas pendikit sehingga hilang pertimbangan. Tetapi apabila corak sama berulang saban tahun, kita tidak lagi boleh sekadar menyalahkan individu tanpa menilai keseluruhan ekosistem acara itu sendiri.
Mana-mana program yang menghimpunkan puluhan ribu motosikal sudah tentu membawa risiko luar biasa. Risiko itu bukan sahaja kepada peserta, malah kepada pengguna jalan raya lain yang langsung tidak mempunyai kaitan himpunan tersebut.
Memang tidak adil untuk menyalahkan keseluruhan komuniti RXZ. Ironinya, majoriti peserta datang dengan niat baik. Mereka mahu berkumpul, berkongsi minat dan mengeratkan persahabatan. Namun, nama komuniti RXZ terus tercalar kerana sikap segelintir yang menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan terbuka.
Lebih malang, setiap kali insiden berlaku, masyarakat mula melabel semua penunggang RXZ sebagai samseng jalanan.
Persoalan lebih besar ialah, adakah penganjuran sebesar ini benar-benar bersedia mengurus risiko yang dibawanya? Atau kita terlalu ghairah mengejar rekod kehadiran dan limpahan ekonomi sehingga keselamatan menjadi perkara kedua?
Memang tidak dinafikan peniaga mendapat manfaat, hotel penuh, restoran sesak dan ekonomi tempatan bergerak rancak. Namun, berapa nilai keuntungan yang mampu menggantikan nyawa yang telah hilang?
Tiada angka dalam laporan ekonomi yang boleh mengembalikan seorang ayah kepada anaknya, seorang suami kepada isterinya atau seorang anak kepada ibu bapanya.
Sudah tiba masanya kerajaan negeri, penganjur dan pihak berkuasa mengkaji semula format himpunan ini. Jika perlu, hadkan penyertaan. Perketat syarat kemasukan. Wajibkan pendaftaran lebih sistematik.
Rancang laluan konvoi rasmi. Tingkatkan pendidikan keselamatan dan kenakan tindakan lebih keras terhadap mereka yang menjadikan acara ini alasan untuk berlumba atau melakukan aksi berbahaya.
Lebih penting, hentikan budaya memandang ringan statistik kematian. Himpunan RXZ tidak sepatutnya menjadi acara yang setiap tahun disusuli dengan angka korban, saman dan motosikal disita.
Jika pola ini terus berulang tanpa perubahan, masyarakat berhak bertanya sama ada kita benar-benar belajar daripada tragedi atau sekadar menunggu angka kematian tahun hadapan untuk kembali mengulangi perbincangan yang sama.
Berapa ramai lagi perlu terkorban sebelum kita mengakui bahawa yang perlu diubah bukan sekadar sikap penunggang, tetapi juga cara kita mengurus sebuah himpunan yang semakin besar, semakin kompleks dan semakin berisiko?
Ini kerana kejayaan sesebuah himpunan bukan diukur melalui jumlah kehadiran semata-mata, tetapi sejauh mana semua peserta dapat pulang ke rumah dengan selamat.
*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

