Tidak cukup masa bukan alasan laksana tender rundingan terus

Shahril Suffian Hamdan
Shahril Suffian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Suffian Hamdan membidas tindakan Kementerian Kewangan melaksanakan tender secara rundingan terus untuk mencetak buku teks Program Dwibahasa (DLP) Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Jelas beliau, alasan kesuntukan masa hanyalah usaha untuk mengaburi mata bagi melindungi tindakan tersebut memandangkan kerajaan Pakatan Harapan mempunyai tempoh masa tujuh bulan sebelum sesi persekolahan 2019 bermula sejak mengambil alih pentadbiran negara.

“Adakah tiada perancangan rapi oleh pihak kementerian dalam mengenalpasti keperluan sesi persekolahan 2019 sepanjang tahun lalu sehingga penganugerahan tender secara terus terpaksa dibuat?

“Bagi memastikan ketelusan pihak kerajaan, adalah disarankan agar dimaklumkan juga syarikat manakah yang dianugerahkan tender tersebut dan berapakan nilai keseluruhan tender ini ?,” soal beliau kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persatuan Pengusaha Pencetak Melayu Malaysia yang kecewa dengan tindakan kerajaan sehingga menyebabkan buku teks tersebut mengalami kelewatan selama tiga bulan dan gagal diserahkan kepada pelajar sebelum sesi persekolahan bermula.

Masalah tersebut berpunca apabila Kementerian Kewangan melakukan tender secara terus pada bulan September tahun lalu kepada penerbit buku dan bukan kepada pencetak buku menyebabkan buku teks tersebut tidak dapat dicetak tepat pada waktu sehingga pelajar perlu menanti sehingga bulan Mac nanti.

Shahril berkata, Kerajaan PH dalam perbahasan Belanjawan 2019 pada sidang Parlimen sepanjang bulan Oktober hingga Disember 2018 lalu begitu lantang bercakap tentang pendirian kerajaan untuk melaksanakan tender terbuka dalam perolehan kerajaan.

“Tetapi dalam diam-diam, penganugerahan tender secara terus ini telah dibuat dan hanya selepas empat bulan ianya dimaklumkan kepada umum.

Artikel Berkaitan:

“Jelas sekali, kerajaan Pakatan Harapan tidak langsung mencerminkan ketelusan kerana tidak menggunakan kesempatan tempoh persidangan parlimen untuk memberi penjelasan tentang perkara ini sebaliknya dalam tempoh tersebut, menteri-menteri kerajaan begitu kuat mengkritik amalan tender secara terus ini,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Apa pun alasan, kena buat tawaran tender terbuka]