Kisah si pemonopoli jalan raya yang menjengkelkan

MERAK Jalanan percaya ramai pernah berdepan situasi begini. Jalan di depan sebuah kereta kosong berkilometer, tetapi di belakangnya sudah berderet lima enam kenderaan.
Kereta itu pula tenang sahaja di lorong kanan atau lorong tengah pada kelajuan 70 atau 80 kilometer sejam. Diberi lampu tinggi, tidak berganjak. Bila kita cuba memotong, tiba-tiba dia boleh pula memecut.
Inilah antara pengalaman sering dikongsi pengguna lebuh raya di media sosial. Ada yang mungkin tidak sedar mereka sedang mengganggu aliran trafik. Mungkin juga mereka beranggapan memandu perlahan sentiasa lebih selamat.
Ada kalanya pemandu bergerak perlahan bukan kerana sengaja. Mereka mungkin tidak biasa dengan jalan, sedang mencari simpang atau menunggu arahan GPS yang kerap 'delay'.
Masalahnya apabila kelajuan itu mula mengganggu tetapi pemandu tidak sedar keadaan di belakang.
Hakikatnya, perlahan pun ada tempatnya. Sebab itu Merak tertarik apabila MIROS menguji cadangan had kelajuan minimum menerusi projek Proof of Concept (POC) diumumkan pada 6 Ogos dan berjalan hingga 31 Oktober.
Bagi lebuh raya tiga atau empat lorong, panduannya ialah 60km/j di lorong kiri, 80km/j di tengah dan 100km/j di kanan. Nampaknya bukan memandu terlalu laju sahaja boleh jadi masalah. Terlalu perlahan pada tempat yang salah pun boleh mengganggu orang lain.
Merak bukan hendak suruh semua orang memecut. Hujan, kesesakan atau keadaan jalan tentu menuntut kita memperlahankan kenderaan.
Tetapi sesekali pandanglah cermin belakang. Kalau jalan di depan kita kosong tetapi belakang sudah panjang berderet, mungkin masalahnya bukan kesesakan. Mungkin kita yang sedang jadi punca.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
