Wanita disimbah petrol, dibakar di premis menjual nombor ramalan

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas melecur 50 peratus pada badan selepas disimbah cecair dipercayai petrol dan dibakar di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Jasni Zolpa berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira jam 8 pagi memaklumkan mangsa berusia 62 tahun dan bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan diserang suspek lelaki yang tidak dikenali.
"Mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Dia dilaporkan kritikal namun stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, wanita terbabit tidak mempunyai musuh dan tidak pernah menerima apa-apa ancaman sebelum ini, justeru motif kejadian sedang disiasat.
Jasni berkata, Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah mengambil beberapa sampel asid deoksiribonukleik (DNA) serta barangan berkaitan di lokasi kejadian untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, susulan itu, polis melancarkan operasi khas bagi mengesan suspek manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Amri Firdaus Jusoh melalui talian 010-9198209, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul 03-40482222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam kes lain, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, seorang lelaki berusia pertengahan 20-an cedera dalam insiden kekecohan di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam semalam, selepas tamat perlawanan Piala ASEAN 2026 melibatkan pasukan Malaysia menentang Filipina.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak disahkan berkaitan kejadian sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten KomisionerNaazron Abdul Yusof berkata, polis sedang mengesan saksi kes kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal dan sebuah kenderaan di Kilometer 301.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (PLUS) arah Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berusia 35 tahun yang menunggang di lorong kiri dipercayai hilang kawalan dan terjatuh ke lorong tengah sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang tidak sempat mengelak.
Kemalangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
