21 maut, 37 cedera dua bas bertembung

NIAMEY - Sekurang-kurangnya 21 orang maut manakala 37 lagi cedera selepas dua bas penumpang bertembung di barat Niger pada Jumaat, lapor Xinhua memetik laporan Agensi Berita Niger (ANP) pada Sabtu.
Menurut ANP, kemalangan itu berlaku di jalan Maradi-Madaoua, kira-kira 55 kilometer dari bandar Madaoua.
Siasatan telah dilancarkan bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Kemalangan itu berlaku ketika pihak berkuasa Niger mempergiat kempen kesedaran keselamatan jalan raya susulan kejadian kemalangan yang kerap berlaku di negara berkenaan.
Menurut laporan Agensi Keselamatan Jalan Raya Niger yang dipetik ANP, lebih 7,100 kemalangan jalan raya direkodkan di negara itu pada 2025, mengorbankan lebih 1,200 orang dan menyebabkan lebih 4,400 lagi cedera parah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
