Dua anggota polis minta belanja RM100 berdepan tindakan tatatertib

KLUANG - Dua anggota polis di Kluang bakal dikenakan tindakan tatatertib selepas didapati meminta belanja RM100 setiap seorang sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pesalah.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 12.20 tengah malam berhampiran pasar raya di Jalan Persiaran Utama, Bandar Newpark, di sini pada Rabu.
Katanya, kejadian itu tular di media sosial Threads oleh pemilik akaun @_zz.aaaa, pada Jumaat.
“Hantaran itu mendakwa dua anggota polis itu memeras ugut dan meminta rasuah daripada orang awam sekali gus menimbulkan persepsi buruk kepada Polis Diraja Malaysia.
"Sehubungan itu, siasatan lanjut dibuat termasuk mengenakan tindakan tatatertib ke atas anggota polis terlibat,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, tular di Threads mendakwa sepupunya berunding dengan dua anggota polis yang menahannya di lokasi kejadian untuk meringankan saman selepas didapati melakukan kesalahan tidak memiliki lesen motosikal.
Polis itu kemudiannya meminta belanja berjumlah RM100 namun individu itu enggan berbuat demikian dan memilih untuk disaman.
"Selepas itu, sepupu saya cakap akan melaporkan perbuatan mereka kepada pihak atasan sebelum polis tersebut mengugut untuk mengaitkannya dengan kes ganja," katanya.
Bahrin berkata, pihaknya tidak berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati mencemarkan imej pasukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
