Suami orang, janda dicekup khalwat, penguat kuasa temui 'ubat kuat' dan kondom

BATU PAHAT - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang lelaki berstatus suami dan seorang janda kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di sini pada jam 11.20 malam pada Jumaat.
JAINJ menerusi kenyataan berkata, lelaki berusia 30-an dan pasangannya berusia 20-an itu ditahan menerusi operasi cegah maksiat di daerah itu.
Menurut kenyataan itu, tangkapan turut membawa kepada penemuan dua botol ubat kuat dan kondom.
“Sebelum tangkapan dibuat, penguat kuasa mengetuk pintu bilik hotel sebelum dibuka seorang lelaki yang bertuala dan tidak berbaju 10 minit kemudian.
“Selepas memperkenalkan diri, pasukan penguat kuasa memasuki bilik hotel terbabit untuk memeriksa dan menemui seorang wanita yang sedang bersembunyi di dalam selimut atas katil,” katanya menerusi kenyataan.
Seorang wanita berbaju tidur kemudian bangun dan pasangan itu seperti dalam ketakutan melihat kehadiran pihak berkuasa.
“Pemeriksaan lanjut dijalankan menemui sekeping kondom yang belum digunakan di bawah selimut dan lelaki itu mengaku membelinya di sebuah kedai runcit.
“Turut ditemui, dua botol ubat kuat berlainan jenis di atas meja yang dibeli secara atas talian,” katanya.
Kondom itu dirampas untuk dijadikan bahan bukti di Mahkamah Syariah.
“Soal siasat mendapati lelaki terbabit sudah berkahwin manakala wanita itu merupakan janda. Kedua-duanya bekerja di daerah ini,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, mereka ke hotel berkenaan menaiki kereta dipandu lelaki terbabit dan mendaftar masuk bilik pada jam 10 malam.
Pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
