Alasan 'tumpang tandas' tak menjadi, janda dan suami orang dicekup khalwat

BATU PAHAT - Seorang janda muda memberi alasan hanya menumpang menggunakan tandas ketika ditangkap berkhalwat bersama seorang lelaki berstatus suami orang di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Lelaki berkenaan pula merayu kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) supaya dilepaskan kerana bimbang perbuatannya diketahui isteri dan anak-anak yang masih bersekolah.
Menurut kenyataan JAINJ, pasangan berkenaan ditahan dalam operasi pemeriksaan berkala dan rambang di bilik hotel sekitar negeri Johor yang dijalankan kira-kira jam 11.40 malam, baru-baru ini.
JAINJ memaklumkan, ketika pemeriksaan dijalankan di sebuah bilik hotel, penguat kuasa mengetuk pintu sebelum ia dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya memakai baju-T dan berseluar dalam.
"Lelaki tersebut cuba menutup semula pintu apabila mengetahui kehadiran penguat kuasa. Namun, tindakan pantas anggota berjaya menghalang pintu daripada dikunci semula sebelum pemeriksaan diteruskan.
"Penguat kuasa kemudian memasuki bilik selepas menunjukkan kad kuasa dan memperkenalkan diri. Keadaan bilik ketika itu gelap dan pemeriksaan awal tidak menemukan individu lain," menurut kenyataan itu.
Menurut JAINJ, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pakaian wanita termasuk pakaian dalam wanita di atas kerusi, selain mendapati pintu tandas dalam bilik berkenaan tertutup.
"Penguat kuasa mengetuk pintu tandas dan ia dibuka kira-kira tiga minit kemudian, namun individu di dalamnya tidak terus keluar.
"Penguat kuasa wanita kemudian masuk ke dalam tandas dan menemui seorang wanita yang hanya memakai seluar dalam tanpa pakaian lain," katanya.
JAINJ berkata, wanita terbabit kemudian diarahkan memakai pakaian lengkap sebelum dibawa keluar bagi membantu siasatan.
"Hasil soal siasat mendapati kedua-dua individu berkenaan bukan pasangan suami isteri yang sah. Lelaki terbabit berstatus suami orang berusia lingkungan 30-an, manakala wanita itu berstatus janda berusia hujung 20-an," katanya.
Menurut kenyataan itu, kedua-duanya bekerja di Batu Pahat dan dipercayai sudah berkenalan lebih setahun.
"Pasangan berkenaan hadir ke hotel terbabit menggunakan dua kenderaan berasingan kira-kira jam 10.30 malam dan bayaran bilik hotel dibuat oleh lelaki tersebut.
"Wanita terbabit pada mulanya memberi alasan hanya menumpang menggunakan tandas, namun selepas soal siasat lanjut dijalankan, dia mengaku berada di dalam bilik bersama lelaki yang bukan suaminya," katanya.
JAINJ berkata, pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.
"Kes berkenaan akan dirujuk untuk tindakan lanjut dan pasangan itu akan didakwa di Mahkamah Syariah," katanya.
Dalam pada itu, JAINJ memaklumkan operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di hotel-hotel seluruh Johor akan diteruskan dari semasa ke semasa.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan syariah boleh menyalurkannya menerusi talian aduan 24 jam JAINJ di 07-2076429 bagi membantu usaha penguatkuasaan," menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

