Kenderaan guna logo JIM dipandu warga asing bukan aset jabatan

KUALA LUMPUR – Kenderaan didakwa milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dipandu seorang individu warga asing seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, disahkan bukan aset rasmi jabatan berkenaan.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran yang tular memaparkan kenderaan berkenaan menggunakan logo JIM.
"Hasil semakan awal mendapati kenderaan berkenaan bukan milik atau aset rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.
"JIM memandang serius penggunaan logo jabatan pada kenderaan tersebut kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan salah tanggapan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, tular hantaran menerusi platform Threads yang memaparkan sebuah kenderaan menggunakan logo JIM dan didakwa dipandu oleh seorang individu warga asing.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai apabila pengguna media sosial mempersoalkan penggunaan logo serta identiti jabatan tersebut oleh individu terbabit.
Zakaria berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta tujuan penggunaan logo JIM pada kenderaan berkenaan.
Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.
"JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej dan integriti jabatan.
"JIM menghargai keprihatinan orang ramai berhubung perkara ini dan akan memastikan siasatan dilaksanakan dengan sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

