37 pekerja restoran warga asing ditahan gagal miliki dokumen kerja sah

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor memberkas 37 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi di sebuah restoran makanan laut di Taman Sentosa, di sini jam 12 tengahari pada Jumaat.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, tangkapan melibatkan 29 wanita dan enam lelaki warga Myanmar, dan satu lelaki Vietnam serta Bangladesh.
Menurutnya, kesemua mereka bekerja sebagai pelayan dan tukang masak berusia 19 hingga 49 tahun.
“Operasi dijalankan susulan risikan awam yang memaklumkan restoran itu dipercayai melindungi dan menggajikan pekerja warga asing tanpa memiliki dokumen pengenalan diri, permit kerja sah dan melanggar syarat pas.
“Pemeriksaan turut dijalankan di kawasan hostel atau tempat penginapan pekerja yang terletak di belakang premis itu,” katanya menerusi kenyataan itu pada Sabtu.
Turut ditahan, warga tempatan yang dipercayai pengurus premis berkenaan.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Mereka ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
