TH teliti cadangan NGO mengenai RCI

SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneliti segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi memorandum yang diserahkan pada Himpunan Aman Solidariti Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH.
TH menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pihaknya menghargai tindakan itu kerana ia mencerminkan keprihatinan masyarakat dalam mendukung institusi haji negara serta memelihara kemaslahatan ummah.
"Kesemua pandangan dan cadangan yang disampaikan akan diteliti oleh pengurusan TH bagi membantu organisasi mencapai hasrat melaksanakan penambahbaikan berterusan untuk kesejahteraan lebih 9.8 juta pendeposit.
"TH juga menyokong tindakan tegas kerajaan dalam mengambil tindakan sewajarnya berhubung hasil dapatan RCI," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu TH memaklumkan, pihaknya telah melaksanakan lebih 75 peratus daripada syor-syor RCI dan terus giat melaksanakan baki penambahbaikan secara keseluruhan.
Menurut TH, usaha pemulihan yang dilaksanakan secara berterusan sejak lapan tahun lalu telah membolehkan kedudukan institusi itu semakin mengukuh.
"Hasilnya juga dapat dilihat dengan kedudukan TH hari ini jauh lebih kukuh berbanding tahun 2018 atas usaha pemulihan berterusan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

