Seorang wakil MIC bertaraf Exco akan ditempatkan di pejabat MB Negeri Sembilan - Ismail

KUALA PILAH - Kerajaan Negeri Sembilan akan melantik seorang wakil daripada MIC untuk ditempatkan di Pejabat Menteri Besar susulan ketiadaan wakil masyarakat India dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri(Exco) yang baharu mengangkat sumpah pada Jumaat.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan semua kaum mendapat peluang dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan semua kaum mendapat peluang dalam pentadbiran kerajaan negeri.
"Kita tiada wakil kaum India yang mengangkat sumpah hari ini, jadi saya nak maklumkan yang kita akan melantik seorang wakil pimpinan masyarakat India daripada MIC untuk ditempatkan di pejabat Menteri Besar.
"Lantikan itu bertaraf Exco dan tujuan kita adalah untuk memberikan peluang kepada semua kaum," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan akan mempertimbangkan untuk melantik seorang wakil daripada masyarakat Orang Asli untuk ditempatkan di pejabat Menteri Besar seperti mana yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, jumlah Exco yang dilantik kekal seramai 10 orang seperti pentadbiran kerajaan terdahulu.
"Barisan Exco kita terdiri daripada lapan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Barisan Nasional(BN) dan dua daripada Perikatan Nasional(PN). Keseluruhan 10 orang.
"Kali ini tiada Exco Kanan yang dilantik dan Timbalan Exco pun kita dah fikirkan tiada keperluan,"katanya.
Mengenai jawatan Speaker dan Timbalan Speaker, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.
Dalam pada itu, Ismail menasihatkan semua Exco yang dilantik supaya melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

