MRSM Ulul Albab Tanah Merah mula dibina suku pertama tahun depan

TANAH MERAH – Pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Tanah Merah dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau mengarahkan pengurusan MARA menyelesaikan segala urusan dokumentasi dalam tempoh dua minggu sebelum dikemukakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM).
“Sekiranya proses itu mendapat kelulusan pada pertengahan September, tender terbuka akan dikeluarkan pada Disember dan pembinaan dimulakan sebelum April tahun depan.
“MRSM ini akan menjadi MRSM Ulul Albab pertama di Kelantan yang dapat menampung 750 pelajar dan merupakan MRSM keenam di negeri ini,” katanya ketika pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah di Dataran Mahsuri di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, penubuhan MRSM berkenaan merupakan hasil perjuangan berterusan UMNO Bahagian Tanah Merah yang sejak sekian lama memperjuangkan pembinaannya.
Katanya, ketika ini sebanyak 58 MRSM di seluruh negara telah melaksanakan program Ulul Albab dengan sasaran pelajar menghafaz 30 juzuk al-Quran, manakala selebihnya pula melaksanakan program Ulul Albab secara mini (Tamhidi) yang mensyaratkan pelajar menghafaz sekurang-kurangnya lima juzuk al-Quran sebelum menamatkan pengajian.
“Usaha ini membuahkan hasil apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2025 merekodkan seramai 380 pelajar program tahfiz MRSM memperoleh keputusan semua A+.
“Malah lima MRSM termasuk MRSM Ulul Albab Gemencheh turut tersenarai sebagai antara lima sekolah terbaik di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju membangunkan MRSM Ulul Albab di Tanah Merah selepas menerima permohonan daripada UMNO Bahagian Tanah Merah.
Mengulas mengenai kos pembinaan, beliau berkata, projek itu pernah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), namun berlaku peningkatan kos pembinaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

