Ismail Sabri dimasukkan ke IJN, pendakwaan ditangguh 27 Ogos

KUALA LUMPUR – Pendakwaan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, ditangguhkan selepas bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
Hakim, Suzana Hussin kemudian menetapkan pendakwaan dijalankan di mahkamah pada 27 Ogos.
“Memandangkan tertuduh kini berada di IJN kerana isu kesihatan, termasuk permohonan penangguhan oleh pembelaan serta pendakwaan, mahkamah membenarkan prosiding pembacaan pertuduhan termasuk pengambilan pengakuan akan dilakukan tiga minggu lagi,” kata hakim.
Berdasarkan sistem kehakiman, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu sepatutnya dibacakan di hadapan pada jam 10 pagi.
Pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen di sini melucutkan hak RM169 juta didakwa milik Ismail Sabri kepada kerajaan Malaysia.
Wang berkenaan melibatkan RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400 dan CHF3 juta (franc Swiss); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600; AED34,750,000 (dirham Emiriah) dan AUD352,850.
Hakim sama memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan kerana tiada pihak ketiga yang berkepentingan hadir bagi mencabar prosiding melucutkan hak harta terbabit.
Pada 8 September tahun sama, mahkamah diberitahu, Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus yang dinamakan sebagai responden, tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak wang tunai yang disita SPRM.
Pada sidang media Mac 2025, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah 'safehouse', berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

