Wanita maut dilanggar lori muatan gas

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
A
A
A

KAJANG - Seorang wanita maut dilanggar sebuah lori ketika melintas jalan berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Semenyih di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah lori muatan gas dengan seorang pejalan kaki itu kira-kira jam 7.30 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Semenyih menuju ke EcoHill bagi menghantar bekalan gas.

"Ketika melalui lokasi kejadian, mangsa iaitu seorang wanita bukan warganegara berusia 41 tahun dipercayai sedang melintas jalan dari arah pasar raya. 

"Pemandu lori bagaimanapun tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Naazron berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!