Tak sempat masuk hospital, bayi lahir atas motosikal

HANOI - Seorang wanita hamil 32 minggu di Vietnam berdepan detik cemas apabila dia melahirkan bayinya di atas motosikal ketika kejadian pada awal minggu lalu.
Video yang tular di media sosial menunjukkan proses kelahiran itu berlaku terlalu pantas.
Pada mulanya, wanita berusia 25 tahun itu mengadu sakit perut dan dibawa suaminya ke hospital dengan menaiki motosikal.
Dia bagaimanapun tidak sempat memasuki pusat perubatan apabila bayinya dilahirkan di luar fasiliti itu dengan tali pusat masih melekat pada tubuh ibu.
Pasukan perubatan segera memberikan rawatan kepada ibu dan bayi termasuk memanaskan badan bayi yang baru lahir serta memotong tali pusat.
Ibu dan bayi seberat kira-kira dua kilogram itu kemudiannya dibawa ke bilik bersalin untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan sihat selepas kelahiran mengejut itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

