KPPK beri tumpuan pembangunan industri buluh negara

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program game changer dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan media hari ini berkata, saiz pasaran global bagi produk buluh dianggarkan berjumlah AS$68 bilion (AS$1= RM4.34) pada tahun 2018, bagaimanapun sumbangan eksport industri berasaskan buluh negara masih rendah iaitu sekitar RM9 juta pada 2019.

"Oleh itu, industri buluh mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan dan dimajukan di negara ini," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, beliau turut membentangkan status pembangunan industri buluh negara dan potensinya untuk dimajukan sebagai sumber pertumbuhan baru dalam sektor agrikomoditi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Katanya, pokok buluh merupakan pokok mudah ditanam dan dijaga kerana tempoh matang pokok buluh adalah singkat iaitu di antara tiga hingga empat tahun dan boleh dituai selepas tempoh berkenaan.

Ketika ini, beliau berkata, terdapat kira-kira 100 pengusaha buluh dalam pelbagai kategori seperti perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan dan eko-pelancongan.

"KPPK melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) juga menyediakan insentif pinjaman mudah bagi menggalakkan pembangunan ladang buluh.

"Pinjaman sejumlah RM10,000 sehektar disediakan untuk pembangunan ladang skala kecil (20-40 hektar), skala sederhana (41–2,499 hektar) dan skala besar (2,500 hektar ke atas)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lima spesies buluh yang telah dikenalpasti di bawah PPLH adalah spesies Buluh Betung, Buluh Semantan, Buluh Beting, Buluh Beti dan Buluh Hitam.

Bagi menyokong pembangunan industri buluh, kementerian akan membangunkan Makmal Tisu Kultur dan Tapak Semaian Buluh di Lahat, Perak di kawasan seluas 1.72 hektar (4.2 ekar) dalam usaha untuk menghasilkan anak benih buluh berkualiti.

Katanya, makmal tisu kultur tersebut berupaya menghasilkan sehingga 100,000 anak benih buluh sebulan apabila beroperasi sepenuhnya kelak.

"Selain memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program pembawa perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kementerian juga sedang menyediakan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh,2021-2025 yang dijangka akan diumumkan pada penghujung tahun ini," katanya. - Bernama