Rangka manusia bersama motosikal ditemui dalam longkang

BAGAN DATUK - Satu rangka manusia ditemui bersama sebuah motosikal di dalam longkang di Kilometer 155.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan di sini pada Rabu.
Penemuan itu disedari pekerja pembersihan yang sedang menjalankan aktiviti memotong rumput di lokasi berkenaan selepas terhidu bau busuk jam 3.39 petang.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan sebelum terjatuh ke dalam longkang di lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal diterima, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan menuju ke Sabak Bernam sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
“Mangsa tidak menerima sebarang bantuan sehingga kejadian itu disedari oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, turut ditemui bersama rangka manusia itu adalah beberapa barangan peribadi dipercayai milik mangsa termasuk telefon bimbit, pasport warga Malaysia dan wang tunai.

Katanya, semakan lanjut mendapati, terdapat satu laporan orang hilang telah dibuat oleh ahli keluarga pada 5 Ogos lalu di Balai Polis Teluk Intan.
“Siasatan awal percaya rangka manusia tersebut adalah milik seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun yang dilaporkan hilang sejak 29 Julai 2026,” katanya.

Mohammad Ali berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Oang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Normah Abu Hassan di talian 010-5364619.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

