PKR anjur Kongres Nasional 2026 di Melaka pada 15-16 Ogos

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada 15 dan 16 Ogos, yang dijangka menghimpunkan kira-kira 2,500 perwakilan dan 3,000 pemerhati.
Pengarah Kongres Nasional Keadilan 2026, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, perasmian kongres dan ucapan dasar akan disempurnakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan pula, berlangsung sehari lebih awal.
"Kongres turut menjangka kehadiran beberapa duta asing termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun dan Australia, yang telah mengesahkan kehadiran selain pimpinan parti-parti politik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Saifuddin berkata, tema 'Memugar Reformasi, Membina Madani' dipilih bagi kongres kali ini, yang membawa aspirasi memperkukuh semula semangat reformasi sebagai asas perjuangan parti, di samping memastikan ia terus relevan dalam mendepani cabaran semasa.
Beliau berkata, sepanjang kongres, perbahasan akan tertumpu kepada isu berkaitan ekonomi, pendidikan dan politik, dengan 16 pembahas mewakili sayap parti serta negeri dijadual membahaskan ucapan dasar presiden.
"Kongres ini akan menjadi medan untuk memperkukuh komitmen anggota parti dalam mempertahankan integriti, menegak keadilan sosial, menyantuni golongan yang tidak berupaya dan yang lemah dan memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.
Saifuddin berkata, seperti penganjuran sebelum ini, kongres kali ini juga akan menyampaikan Anugerah Bill Kayong kepada lima keluarga, sebagai penghargaan terhadap jasa ahli keluarga mereka yang berkhidmat kepada parti sehingga akhir hayat.
"Bagi menyediakan perkhidmatan terus kepada perwakilan dan pemerhati, kongres turut dijalankan dengan kerjasama beberapa kementerian dan agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
"Pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka akan menganjurkan Karnival Rahmah Mega kepada orang ramai,” katanya yang berharap kongres berhasil mencipta momentum kesepaduan dan mencari titik persamaan dalam kalangan pimpinan dan anggota parti. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
