Kertas siasatan kes kematian Rocky diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya

KLANG - Kertas siasatan berhubung kematian seekor anjing dikenali sebagai Rocky semasa operasi gotong-royong menangkap anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, minggu lalu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kertas siasatan itu telah dilengkapkan dan dirujuk kepada TPR pada 4 Ogos bagi mendapatkan arahan lanjut.
"Kes telah dirujuk kepada TPR semalam (4 Ogos) dan kini menunggu arahan selanjutnya," katanya ringkas dalam kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis membuka siasatan berhubung kematian seekor anjing semasa operasi gotong-royong menangkap anjing liar yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama penduduk di Taman Teluk Gedung Indah pada Rabu lalu.
Jit Huey berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan khianat dengan membunuh haiwan.
Menurutnya, tindakan itu diambil selepas polis mengesan rakaman video yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki mengikat dan menarik seekor anjing, manakala seorang wanita dilihat merayu supaya haiwan berkenaan dilepaskan.
Jelas beliau, rakaman itu dipercayai berlaku kira-kira jam 10.50 malam di hadapan sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Tambah beliau, selepas kejadian, anjing itu disahkan mati dan telah dihantar ke Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Selangor bagi tujuan bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

