Lelaki cedera, RM30,000 simpanan dan duit raya anak hangus dalam kebakaran lima rumah

Kebakaran melibatkan lima rumah kediaman jenis kekal di RAKR Seberang Jerteh. Foto FB Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Besut
Kebakaran melibatkan lima rumah kediaman jenis kekal di RAKR Seberang Jerteh. Foto FB Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Besut
A
A
A

JERTIH - Lima buah rumah sederet di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Seberang Jerteh di sini musnah manakala seorang lelaki cedera dalam kejadian kebakaran, pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Mustafa Ismail berkata, panggilan kecemasan diterima 10.28 pagi dan tiba di lokasi 11.44 pagi, sebelum api berjaya dikawal kira-kira 30 minit kemudian.

"Kebakaran melibatkan lima rumah kediaman jenis kekal dengan sebuah rumah musnah sepenuhnya dan sebuah lagi hampir musnah sepenuhnya, manakala tiga rumah mengalami kerosakan antara lima hingga 50 peratus.

"Sebanyak 14 pegawai dan anggota bersama-sama dua jentera pemadam dari BBP Jertih dan BBP Besut terlibat dalam operasi pemadaman yang menggunakan air daripada pili bomba berhampiran. Punca kebakaran serta jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi pada Rabu.

Dalam pada itu, mangsa yang cedera, Muhammad Rais Rosli, 34, berasa terkilan dan sedih kerana kehilangan wang tunai yang disimpan sejak sekian lama sebanyak RM25,000 dan duit raya anaknya berjumlah RM5,000 yang dikumpul sejak dua tahun lepas.

Pekerja kedai perabot itu melecur pada tangan kiri ketika cuba menyelamatkan barangan di rumah sewanya itu sebaik menyedari api mulai merebak. 

"Tiada sesiapa di rumah ketika kejadian kerana anak-anak berada di sekolah, saya pula sedang bekerja dan isteri (Nur Khairunnisa Muhammad Amar, 40) membawa kucing peliharaan kami yang sakit ke klinik haiwan. 

"Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini melalui panggilan telefon ibu mentua. Saya terus pulang dan cuba memadamkan api serta menyelamatkan barang sehingga tangan kiri melecur ketika mengangkat tong gas yang panas. 

"Tidak banyak barang yang sempat diselamatkan selain televisyen dan kipas, manakala pakaian, buku sekolah anak-anak dan lain-lain habis terbakar,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!