Sindiket proses vape berisi dadah RM10.68 juta tumpas

Chuan Huat (tengah) menunjukkan perisa vape yang dirampas daripada sindiket.
Chuan Huat (tengah) menunjukkan perisa vape yang dirampas daripada sindiket.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Taktik sindiket menjadikan kondominium sebagai stor pembungkusan dan pengisian cecair vape mengandungi dadah terbongkar apabila tujuh suspek ditahan dalam lima serbuan serentak di Kulai, Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Muar, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, serbuan pertama di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing.

Beliau memberitahu operasi hasil risikan yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi, membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 36 hingga 46 tahun.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menemukan 9,000 kartrij vape mengandungi dadah disyaki cecair methamphetamine seberat 82.40 kilogram dengan nilai rampasan RM4.12 juta.

"Serbuan kedua di Bandar Medini, Iskandar Puteri pula berjaya menahan seorang lelaki warga asing di sebuah rumah yang dijadikan stor pembungkusan dan pengisian kartrij vape mengandungi dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, pada Rabu.

Chuan Huat berkata, polis turut merampas 47 botol plastik mengandungi perisa vape, satu botol kaca mengandungi cecair methamphetamine seberat 127.55 liter bernilai RM6.37 juta, dua paket kokain seberat 0.410 kilogram, satu paket ketamin seberat 40 gram serta mesin dan peralatan yang digunakan untuk mengisi cecair vape.

Menurutnya, serbuan ketiga di Taman Sutera Utama, di sini, membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan bersama rampasan heroin seberat 11.45 gram, 20 biji pil Erimin 5 dan 53 biji pil ekstasi.

"Serbuan keempat dan kelima di Mutiara Rini serta parkir sebuah stesen minyak di Tanjung Agas, Muar pula berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan," katanya.

Chuan Huat berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 210.43 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM10.68 juta yang dianggarkan mampu disalah guna oleh 649,096 penagih.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak Februari lalu dengan menjadikan kondominium sebagai lokasi membungkus dan mengisi perisa vape ke dalam kartrij sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Siasatan turut mendapati suspek pertama berperanan sebagai pengangkut, suspek kedua yang juga isterinya membantu operasi, suspek ketiga menjaga stor, suspek keempat bertindak sebagai runner, suspek kelima penerima bungkusan, suspek keenam pembantu dan suspek ketujuh dipercayai dalang atau ketua sindiket," katanya.

Beliau berkata, dua suspek didapati positif methamphetamine melalui ujian saringan air kencing, manakala empat lagi mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan kesalahan dadah.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM120,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM10.80 juta," katanya.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!