Rundingan Iran-AS hanya delusi Trump?

Trump berulang kali melancarkan retorik ugutan ke atas Iran. - Foto Agensi
Trump berulang kali melancarkan retorik ugutan ke atas Iran. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa pentadbirannya mengadakan 'perbincangan yang sangat baik' dengan Iran menerusi rundingan sepanjang hari pada Selasa, namun kenyataan itu bercanggah dengan pengesahan negara perantara bahawa tiada sesi dialog berlangsung buat masa ini.

Keyakinan Trump mengenai perkembangan rundingan itu turut mencetuskan penurunan harga minyak dan lonjakan pasaran saham Asia pada Rabu selepas Wall Street merekodkan paras tertinggi baharu walaupun usaha memulihkan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz masih belum jelas.

“Selat Hormuz akan dibuka tidak lama lagi. Jika Teheran menarik diri sekali lagi, mereka akan menerima serangan yang amat dahsyat," katanya kepada rancangan Fox News @ Night.

Delusi Trump mengenai rundingan Iran turut disokong Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang mendakwa terdapat kemajuan dalam perbincangan tersebut meskipun tiada persetujuan muktamad dicapai setakat ini.

Portal berita Axios memetik beberapa sumber juga melaporkan AS dan Iran semakin hampir mencapai perjanjian sementara untuk membuka semula Selat Hormuz dengan persetujuan Oman yang mengawal sebahagian laluan perairan itu.

Laporan berkenaan menyebut Washington akan membuat pengumuman itu pada minggu ini.

Sementara itu, Qatar memaklumkan usaha negara perantara masih diteruskan bagi mencari penyelesaian diplomatik untuk mengelakkan ketegangan antara AS dan Iran terus memuncak, namun tiada rundingan secara langsung dirancang antara kedua-dua pihak.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari memberitahu wakil mereka bersama Pakistan dan Oman memberi tumpuan kepada 'penyelesaian jangka pendek yang dapat membantu menghidupkan semula rundingan' antara Washington dan Teheran.

Difahamkan, satu-satunya sesi dialog yang sedang dijalankan ketika ini adalah dengan Oman berkaitan perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz kepada kapal komersial dan proses tersebut dikatakan menunjukkan kemajuan positif. - Agensi

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!