Melaka bakal menjadi ujian penting terhadap dinamika kerjasama BN-PN

KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa bentuk persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka mungkin berbeza daripada formula yang digunakan di Johor dan Negeri Sembilan boleh ditafsirkan sebagai petunjuk awal bahawa rundingan di negeri itu akan mengambil kira realiti politik serta kekuatan relatif setiap gabungan.
Pandangan tersebut mempunyai asas berdasarkan perkembangan politik semasa. BN kini menguasai 20 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan mengekalkan majoriti dua pertiga di peringkat negeri.
Namun, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN tidak memenangi mana-mana daripada enam kerusi Parlimen di Melaka. Sebaliknya, PN memenangi Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin, manakala Pakatan Harapan (PH) menguasai Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka.
Keadaan ini memperlihatkan dua ukuran kekuatan politik yang berbeza. Dari sudut pentadbiran negeri, BN mempunyai kelebihan kerana menguasai kerajaan negeri, jawatan Ketua Menteri dan majoriti besar dalam DUN.
Dari sudut prestasi pilihan raya Parlimen yang lebih terkini pula, PN boleh berhujah bahawa keputusan PRU15 mencerminkan perubahan corak sokongan pengundi di Melaka.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, keputusan rasmi menunjukkan BN memenangi 21 kerusi, PH lima kerusi dan PN dua kerusi. Keputusan tersebut memberikan BN majoriti dua pertiga serta mengukuhkan kedudukannya sebagai kerajaan negeri.
Walau bagaimanapun, analisis keputusan PRU15 mengikut kawasan DUN menunjukkan gambaran yang berbeza. Berdasarkan pecahan keputusan PRU15 mengikut sempadan 28 DUN Melaka, PH mendahului di 14 kerusi, PN di 10 kerusi dan BN di empat kerusi.
Daripada 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN 2021, analisis tersebut menunjukkan sembilan kerusi beralih kepada PN dan lapan kepada PH. BN hanya mengekalkan kedudukan di Asahan, Ayer Molek, Rim dan Merlimau.
Sementara itu, Bemban yang dimenangi PN pada PRN 2021 menunjukkan kelebihan kepada PH berdasarkan keputusan PRU15.
Secara keseluruhannya, hanya 10 daripada 28 kerusi mengekalkan gabungan pemenang yang sama antara PRN 2021 dengan analisis berdasarkan keputusan PRU15. Perbezaan ini menunjukkan bahawa corak sokongan pengundi boleh berubah mengikut konteks dan jenis pilihan raya.
Berdasarkan analisis tersebut juga, empat kerusi yang kekal memihak kepada BN mempunyai majoriti masing-masing sebanyak 1,777 undi di Asahan, 1,180 undi di Merlimau, 622 undi di Rim dan 608 undi di Ayer Molek.
PN pula menunjukkan kekuatan yang lebih ketara di kawasan luar bandar dan majoriti Melayu. Daripada 10 kerusi yang memihak kepada PN, tujuh berada dalam kategori K1 (luar bandar), dua dalam kategori K2 (pinggir bandar) dan satu dalam kategori bandar. Antaranya ialah Tanjung Bidara, Ayer Limau, Taboh Naning, Sungai Udang, Pantai Kundor, Serkam dan Sungai Rambai.
Sebaliknya, PH lebih menonjol di kawasan bandar serta kawasan bercampur. Kesemua 14 kerusi yang memihak kepada PH berada dalam kategori bandar atau kawasan bercampur, melibatkan sembilan kerusi K3, dua kerusi K5 dan tiga kerusi K6.
Corak ini menggambarkan pembahagian sokongan yang agak jelas, dengan PN lebih kukuh di sebahagian kawasan luar bandar Melayu, PH lebih dominan di kawasan bandar dan bercampur, manakala BN masih mempunyai kekuatan melalui penguasaan pentadbiran negeri.
Dalam konteks ini, kenyataan Abdul Hadi boleh dilihat sebagai sebahagian daripada proses awal rundingan bagi memastikan kedudukan Pas dan PN diberi pertimbangan sewajarnya dalam sebarang bentuk kerjasama.
Di Negeri Sembilan, BN muncul sebagai komponen terbesar dengan 18 kerusi, PN tujuh dan PH 11. Dalam keadaan itu, BN mengetuai kerajaan negeri manakala pembahagian jawatan Exco dibuat berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi.
Di Melaka, keadaan politik mempunyai ciri yang berbeza. Sekiranya pembahagian kerusi dibuat berdasarkan penyandang DUN, BN dijangka memperoleh bahagian yang lebih besar.
Sebaliknya, jika keputusan PRU15 dijadikan antara asas pertimbangan, PN berkemungkinan mengemukakan tuntutan yang lebih besar selaras dengan prestasinya pada pilihan raya tersebut.
Perbezaan asas penilaian ini berpotensi menjadi antara perkara utama dalam rundingan. Formula berdasarkan penyandang memberi kelebihan kepada BN, manakala formula berasaskan prestasi pilihan raya terkini memberi kelebihan kepada PN.
Pendekatan berasaskan kebolehmenangan pula mungkin memerlukan pertimbangan semula terhadap beberapa kerusi yang kini disandang oleh parti tertentu.
Selain pembahagian kerusi, rundingan selepas pilihan raya juga dijangka melibatkan persoalan mengenai struktur pentadbiran sekiranya kerjasama tersebut memperoleh kemenangan.
BN berkemungkinan mahu mengekalkan jawatan Ketua Menteri sebagai parti yang menerajui kerajaan negeri ketika ini, manakala PN mungkin mengharapkan penyertaan yang setimpal dalam pentadbiran melalui jawatan Timbalan Ketua Menteri, portfolio Exco atau pelantikan dalam agensi berkaitan.
Dari perspektif politik, setiap formula yang dipilih mempunyai implikasi tersendiri terhadap persepsi penyokong kedua-dua gabungan. Oleh itu, keseimbangan antara kepentingan parti dan penerimaan akar umbi akan menjadi faktor penting dalam memastikan kerjasama dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Situasi di Melaka juga boleh dilihat sebagai gambaran kepada cabaran yang lebih luas di peringkat nasional. Pas dan PN mempunyai kedudukan yang kukuh di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, manakala UMNO mempunyai kekuatan tradisi di negeri seperti Pahang dan Johor.
Keadaan ini menjadikan rundingan pembahagian kerusi di peringkat Parlimen dan negeri memerlukan pendekatan yang lebih teliti serta mengambil kira kekuatan setiap parti di kawasan masing-masing.
Kemenangan BN di Johor serta kejayaan kerjasama BN–PN memperoleh 25 daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan menunjukkan bahawa pemindahan sokongan antara penyokong kedua-dua gabungan berpotensi berlaku dalam keadaan tertentu.
Namun, keputusan tersebut lebih menggambarkan keberkesanan kerjasama semasa pilihan raya. Tahap kestabilan kerjasama dalam jangka panjang masih bergantung kepada sejauh mana isu pembahagian kerusi, kepimpinan dan penyertaan dalam pentadbiran dapat dipersetujui secara bersama.
Melaka dijangka menjadi antara medan penting untuk menilai keupayaan kedua-dua gabungan mengurus perbezaan tersebut. BN mempunyai kelebihan sebagai kerajaan negeri dengan 20 ADUN, manakala PN mempunyai pencapaian yang ketara di peringkat Parlimen serta menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di beberapa kawasan berdasarkan analisis keputusan PRU15.
Sehubungan itu, proses rundingan antara BN dan PN akan menjadi penentu kepada bentuk kerjasama yang dapat dibina menjelang pilihan raya akan datang. Kejayaannya bergantung kepada kemampuan kedua-dua pihak mencapai persefahaman mengenai pembahagian kerusi, kepimpinan kerajaan dan struktur pentadbiran selepas pilihan raya.
Sekiranya perkara-perkara tersebut dapat diselesaikan melalui mekanisme yang dipersetujui bersama serta mendapat penerimaan di peringkat akar umbi, kerjasama berkenaan berpotensi menjadi lebih mampan.
Sebaliknya, jika perbezaan kepentingan tidak dapat diurus dengan baik, ia mungkin memberi cabaran kepada kelangsungan kerjasama tersebut, sebagaimana pengalaman beberapa bentuk kerjasama politik sebelum ini.
*Dr Nur Ayuni Mohd Isa ialah Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
