RCI Tabung Haji: Sidang khas berlangsung tanpa waktu rehat, 40 ahli Parlimen berbahas - Fahmi

Fahmi ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
Fahmi ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sidang khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji Selasa depan akan diadakan secara berterusan tanpa waktu rehat berikutan minat tinggi Ahli Parlimen untuk mengambil bahagian.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, setakat ini dianggarkan antara 35 hingga 40 Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan untuk membahaskan laporan berkenaan.

Menurutnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul turut bersetuju supaya sidang khas itu berlangsung secara berterusan tanpa waktu rehat.

"Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa Speaker telah bersetuju bahawa sidang ini akan diadakan secara berterusan tanpa waktu rehat.

"Pada ketika ini dianggarkan sekurang-kurangnya 35 hingga 40 orang Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahaskan isu tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini pada Rabu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, orang ramai boleh mengikuti perjalanan sidang khas itu secara langsung menerusi semua saluran media rasmi sepanjang perbahasan berlangsung.

Pada 30 Julai lalu, kerajaan mengumumkan penyahklasifikasian Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Laporan itu antara lain mengenal pasti beberapa pelaburan bermasalah yang disyorkan menjalani audit forensik, selain mengandungi 25 syor penambahbaikan bagi memperkukuh tadbir urus TH.

Kerajaan turut memutuskan siasatan oleh badan-badan penguat kuasa diteruskan serta-merta terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti melakukan pelanggaran undang-undang berdasarkan dapatan laporan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Perbahasan itu dijangka menjadi tumpuan kerana melibatkan pelbagai dapatan serta syor berkaitan urus tadbir, pengurusan dan keputusan pelaburan Tabung Haji yang dibangkitkan dalam laporan RCI.

Terdahulu, kerajaan menetapkan sidang khas Dewan Rakyat diadakan khusus bagi membolehkan Ahli Parlimen membahaskan laporan tersebut sebelum sebarang tindakan susulan dipertimbangkan berdasarkan syor yang dikemukakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!