Pengarah syarikat direman disyaki rasuah bekas COO RM300,000

SHAH ALAM – Seorang pengarah sebuah syarikat reka bentuk direman dua hari bagi membantu siasatan selepas disyaki memberi rasuah bernilai kira-kira RM300,000 kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan membantu mendapatkan projek ubah suai.
Perintah reman sehingga 5 Ogos terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 50 an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 7.30 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2014 hingga 2018.
"Suspek disyaki memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM300,000.
"Ia dipercayai sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek ubah suai di badan berkanun tersebut," katanya.
Menurut sumber lagi, penahanan itu merupakan susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

