SKMM, Chegubard setuju selesai saman fitnah di luar mahkamah

SEREMBAN - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din bersetuju menyelesaikan saman fitnah terhadap Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard di luar mahkamah.
Perkara berkenaan dimaklumkan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Chegubard ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Seremban di sini pada Rabu.
Menurut beliau, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk mencari penyelesaian menerusi sesi mediasi yang diadakan.
"Saman fitnah itu difailkan oleh SKMM dan pengerusinya di Mahkamah Tinggi Seremban pada 14 Mei 2025 berhubung hantaran yang dimuat naik Chegubard di akaun Facebook miliknya.
"Perbicaraan kes ini telah ditetapkan berlangsung selama empat hari, iaitu dari 10 hingga 13 Ogos depan di Mahkamah Tinggi Seremban, namun semua pihak diarahkan menghadiri sesi di Pusat Mediasi bagi melihat sama ada boleh mencapai titik pertemuan dan penyelesaian. Alhamdulillah, hari ini kedua-dua pihak bersetuju," katanya.
Antara kandungan hantaran Facebook Chegubard itu berbunyi: 'Salim Fateh Din merupakan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Kita tahu bagaimana SKMM menjadi keldai kepada rejim dan dalam masa sama isu penipuan, judi dan pelacuran dalam talian berleluasa kelihatan bebas dibiarkan. SKMM jadi keldai alat politik rejim.'
Muhammad Rafique yang turut dibantu peguam Muhammad Amirul Ar Rasyid Azman dan Akif Rusli berkata, terma persetujuan penyelesaian kes akan direkodkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 10 Ogos depan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
"Pada masa itu, kami akan mendedahkan dan menjelaskan terma-terma penyelesaian yang telah dipersetujui.
"Kita membuat keputusan menyelesaikan kes ini di luar mahkamah bagi menjimatkan kos serta mengelakkan pembaziran masa dan tenaga mahkamah serta semua pihak yang terlibat," katanya.
Ini kerana ujar beliau, terdapat kes-kes lain yang lebih perlu diberikan keutamaan berbanding kes berkenaan.
"Jadi, kita akan bertemu semula di Mahkamah Tinggi Seremban pada 10 Ogos depan.
"Terma-terma yang sedang dimuktamadkan antara pihak-pihak akan dimaklumkan secara jelas pada jam 11 pagi, 10 Ogos depan," katanya.
Nurshafiqa Balqish Jaffri dan C. Sudha mewakili SKMM serta pengerusinya pada sesi mediasi berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

