Hutang main kutu mungkin punca tiga beranak hilang - Polis

JITRA - Polis sedang menjalankan siasatan sama ada kehilangan tiga beranak dari rumah mereka di Bukit Kayu Hitam sejak 20 Julai lalu, disyaki mempunyai kaitan dengan isu hutang.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya ada menerima laporan polis daripada mangsa yang dibuat terhadap individu hilang, dipercayai terbabit dalam permainan kutu.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan secara terperinci dan tidak menolak kemungkinan isu hutang mempunyai kaitan dengan kehilangan tiga beranak tersebut.
"Siasatan masih diteruskan sebagai 'Orang Hilang' dan polis meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya ternampak mereka.
"Siasatan turut dijalankan dari segala sudut termasuk kemungkinan menjadi mangsa pelakuan jenayah atau kemalangan," katanya.
Sebelum ini, seorang warga emas membuat laporan polis selepas mendakwa anak perempuan, menantu dan cucu gagal dihubungi sejak 20 Julai lalu.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada Isnin susulan kebimbangan terhadap keselamatan tiga ahli keluarga itu.
Ketiga-tiga mereka ialah Khairul Azhar Ahmad, 39, dan isterinya, Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, serta anak mereka, Adid Khairul Azhar, 9, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8, Changlun.
Jelas Mohd Radzi, sehingga kini, ketiga-tiga beranak itu beranak itu gagal dikesan dan semakan mendapati, tiada pergerakan ke luar negara dilaporkan setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

