Mangsa kutu dakwa rugi RM25,000, polis siasat kaitan kehilangan tiga beranak

JITRA – Polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM25,000 akibat urusan hutang kutu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang wanita yang dilaporkan hilang bersama suami dan anak mereka sejak 20 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, laporan itu dibuat oleh lelaki berusia 23 tahun terbabit yang mendakwa menjadi mangsa dalam urusan berkenaan.
Menurutnya, laporan polis berkenaan dibuat terhadap wanita berusia 36 tahun yang kini masih gagal dikesan.
"Setakat ini kita masih mengesan mereka termasuk suami wanita itu yang berusia 39 tahun serta anak mereka yang berusia sembilan tahun yang masih hilang," katanya pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan Polis sedang menjalankan siasatan sama ada kehilangan tiga beranak dari rumah mereka di Bukit Kayu Hitam disyaki mempunyai kaitan dengan isu hutang.
Kehilangan mereka hanya disedari selepas ahli keluarga tidak lagi dapat menghubungi pasangan suami isteri berkenaan serta anak mereka.
Susulan itu, bapa kepada wanita berusia 62 tahun tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas usaha mengesan anak perempuan, menantu dan cucunya gagal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

