Tiga kilang e-waste haram diserbu, rampasan lebih RM9 juta

IPOH - Kegiatan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram di tiga kilang sekitar bandar raya ini terbongkar apabila pihak berkuasa merampas pelbagai barangan lebih RM9 juta dalam operasi bersepadu, Isnin lalu.
Serbuan menerusi Op Taring E-Waste itu dilaksanakan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam melibatkan seramai 28 pegawai dan anggota.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, risikan mendapati, ketiga-tiga kilang terbabit menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste tanpa notifikasi dan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, premis berkenaan juga dikesan cuba menjalankan pemprosesan e-waste dengan berselindung disebalik lesen perniagaan biasa yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Semasa serbuan, kita menemui sejumlah besar sisa elektronik yang disimpan di dalam beg serta dilonggokkan di dalam dan sekitar kawasan premis.
“Jumlah keseluruhan sisa e-waste yang dirampas dianggarkan sebanyak 120,220 kilogram.
"Turut dirampas pelbagai mesin dan jentera pemprosesan serta beberapa kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM9,394,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Utara PGA di sini pada Rabu.
Beliau berkata, hasil operasi, seramai 14 individu telah ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan dipercayai pengurus premis serta 12 warga asing.
“Mereka melibatkan lapan lelaki dan empat wanita warga Myanmar berusia antara 20 hingga 50 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Balveer Singh berkata, pemeriksaan turut mendapati fasiliti rawatan air di premis berkenaan tidak teratur sehingga berpotensi menyebabkan pencemaran.
Katanya, keadaan itu boleh memberi risiko kepada keselamatan dan kesihatan awam selain menjejaskan alam sekitar.
“Sisa elektronik yang diproses secara haram berpotensi melepaskan bahan toksik ke udara, tanah dan sumber air,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga premis berkenaan kini disiasat oleh JAS di bawah beberapa peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Tambahnya, Jabatan Imigresen turut menjalankan siasatan mengikut Akta Imigresen, manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

