Dakwaan PH sertai barisan Exco tidak berasas, sengaja mahu laga-lagakan BN-PN – ADUN BN

Mohd Faizal (kiri), Mohd Asna (tengah) dan Saiful Yazan
Mohd Faizal (kiri), Mohd Asna (tengah) dan Saiful Yazan
A
A
A

SEREMBAN – Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan kononnya Pakatan Harapan (PH) akan menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.

ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, dakwaan tersebut tidak berasas dan sengaja ditimbulkan bagi melaga-lagakan BN dengan Perikatan Nasional (PN) yang baharu membentuk kerajaan negeri.

"BN dengan PN telah bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri(PRN) lalu dan kini berjaya membentuk kerajaan. Kenapa pula tiba-tiba PH mahu turut serta dalam pelantikan Exco?

"Setakat hari ini saya tidak pernah mendengar langsung sebarang perbincangan berhubung perkara itu dan ia nyata tidak berasas,"katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, dakwaan seperti itu hanya sengaja ditimbulkan untuk melaga-lagakan BN dan PN serta menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang berjaya dibentuk dengan majoriti dua pertiga.

"Pengundi telah membuat keputusan menolak PH. Jadi cerita seperti ini hanya bertujuan membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan," katanya.

ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, jika benar PH sertai barisan Exco, tiada gunanya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan.

"Kita dah guna naratif gelombang biru menentang gelombang merah, tapi tiba-tiba bila menang pilihan raya kita nak bersama merah semula.

"Bagi saya kalau kita buat macam itu, ia akan menghilangkan keyakinan rakyat kepada kita dan turut memberi kesan kepada PRN Melaka,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menggesa semua pihak menghentikan polemik politik dan memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu untuk melaksanakan amanah mentadbir negeri serta menunaikan manifesto pilihan raya demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, semua pemimpin perlu mengutamakan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat berbanding terus menghangatkan isu-isu yang boleh mengeruhkan keadaan politik.

Mengulas dakwaan Tan Sri Mohd Rais Yatim mengenai kononnya wujud campur tangan pihak luar dalam urusan pelantikan Menteri Besar, beliau berkata, dakwaan itu tidak berasas.

Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah mencampuri urusan institusi Raja dan adat Negeri Sembilan, malah bertindak mengikut lunas undang-undang.

Selain itu, ADUN Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berpendapat, dakwaan itu sengaja ditimbulkan bertujuan mewujudkan ketidakstabilan kerajaan negeri yang baharu dibentuk ini.

"Kalau perkara itu benar-benar akan berlaku, sudah semestinya kami ADUN BN yang baharu memenangi PRN akan dibawa berbincang mengenainya.

“Sebaliknya, perkara ini tidak pernah dibincangkan sama sekali sehingga hari ini,” katanya.

Justeru itu, Saiful Yazan berharap semua pihak memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat Negeri Sembilan telah membuat pilihan dan semua pihak seharusnya memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri, bukannya terus berpolitik.

Sebelum ini, wujud dakwaan bahawa ADUN daripada PH berkemungkinan menyertai pentadbiran Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Ismail.

Ismail pada Selasa bagaimanapun menafikan menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan tersebut.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!