Pagar besi kelilingi Jakarta cetus spekulasi

JAKARTA - Gabenor Jakarta, Pramono Anung bersama pihak berkuasa memberi jaminan kepada komuniti perniagaan dan orang ramai bahawa ibu kota masih berada dalam keadaan terkawal selepas beberapa pusat beli-belah dan bangunan pejabat memasang tembok pagar besi di sekitar premis mereka.
Menurut laporan Kompas, penghadang logam berpancang tajam setinggi antara dua hingga lima meter mula dipasang di hadapan pusat beli-belah, bangunan pejabat dan bank milik kerajaan di Jakarta, Surabaya, Yogyakarta serta Surakarta sejak minggu lalu.
Di ibu kota, pusat beli-belah seperti Kota Kasablanka, Blok M Plaza dan FX Sudirman memasang pagar keluli di pintu masuk manakala beberapa bangunan bank milik kerajaan di kawasan Slipi turut mengambil langkah sama.
Di Surabaya pula, pemasangan pagar keluli di Pakuwon City Mall, Royal Plaza, Tunjungan Plaza dan Pakuwon Mall mencetuskan spekulasi di media sosial bahawa premis perniagaan sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan demonstrasi serta kekacauan yang dikhuatiri berulang pada bulan ini.
"Sebagai Gabenor Jakarta, saya sedang menyelaras usaha bersama polis, tentera dan agensi berkaitan untuk memastikan Jakarta kekal selamat," kata Pramono bagi meredakan kebimbangan orang ramai.
Pengerusi Persatuan Pengurusan Pusat Beli-belah Indonesia (APPBI), Alphonzus Widjaja bagaimanapun menjelaskan tujuan utama pemasangan pagar adalah untuk mengawal aliran keluar masuk pengunjung, mengurangkan risiko keselamatan serta melancarkan trafik di kawasan pintu masuk pusat beli-belah.
"Jika kawasan itu dibuka sepenuhnya, pengunjung boleh keluar masuk dari pelbagai arah. Keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko keselamatan. Pemasangan pagar ini bukanlah sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman keselamatan seperti yang didakwa sesetengah pihak," ujarnya.
Pengarah Pemasaran Kumpulan Pakuwon, Sutandi Purnomosidi turut menafikan dakwaan bahawa pagar tersebut dipasang kerana menjangkakan demonstrasi ganas akan berlaku.
Difahamkan, beberapa premis di Jakarta mula membuka semula pagar berkenaan susulan gesaan Pramono.
CNBC Indonesia melaporkan pagar logam setinggi kira-kira 2.5 meter yang mengelilingi laluan pejalan kaki serta pintu masuk utama pusat beli-belah Kota Kasablanka di Jakarta Selatan mula dialihkan pada Isnin selepas dipasang hampir seminggu. - Agensi
Info:
>Pada akhir Ogos 2025, beberapa pusat beli-belah terpaksa ditutup sementara atau mengehadkan operasi selepas demonstrasi yang tercetus di beberapa bandar bertukar ganas.
>Ketegangan meningkat selepas seorang pemandu ojek dalam talian, Affan Kurniawan maut dilanggar kenderaan taktikal Brimob ketika demonstrasi di Jakarta pada 28 Ogos. Insiden keganasan itu turut mengorbankan dan mencederakan beberapa individu serta menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah berbilion rupiah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

