Kemungkinan wujud 'orang dalam' bantu sindiket seludup dadah di KLIA - Polis

Hussein berkata, pihaknya meneliti kemungkinan wujud penglibatan 'orang dalam' yang membantu sindiket pengedaran dadah di KLIA.
Hussein berkata, pihaknya meneliti kemungkinan wujud penglibatan 'orang dalam' yang membantu sindiket pengedaran dadah di KLIA.
A
A
A

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti kemungkinan wujud penglibatan 'orang dalam' yang membantu sindiket pengedaran dadah menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai laluan untuk menyeludup dadah ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan itu antara aspek yang sedang diberikan perhatian susulan peningkatan cubaan sindiket menggunakan KLIA bagi membawa keluar dadah.

Menurutnya, sindiket bukan melihat KLIA sebagai lokasi yang mudah ditembusi, sebaliknya mengambil kesempatan terhadap sebarang kelonggaran yang mungkin wujud.

"Kalau hendak kata mudah, tidak, mungkin ada kelonggaran tertentu yang digunakan oleh sindiket untuk membawa keluar dadah melalui KLIA.

"Walaupun banyak rampasan dan tangkapan dibuat oleh PDRM bersama pihak berkuasa lapangan terbang, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia, masih ada cubaan membawa keluar dadah melalui KLIA," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persepsi sindiket yang dilihat terus menjadikan KLIA sebagai laluan utama penyeludupan dadah.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan jumlah dadah yang dirampas di KLIA sepanjang Januari hingga Julai tahun ini meningkat hampir enam kali ganda kepada 1.3 tan berbanding 235 kilogram bagi tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu turut menyaksikan nilai rampasan melonjak kepada kira-kira RM108 juta berbanding RM18.4 juta bagi tempoh sama tahun 2025.

Dalam pada itu Hussein, sindiket akan terus mengulangi percubaan kerana percaya sebahagian penghantaran mereka berjaya melepasi pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan terus mencuba, kalau cuba 10 kali, mungkin dua atau tiga kali berjaya, sebab itu mereka tidak pernah berputus asa.

"Mereka tahu ada cubaan yang berjaya melepasi kawalan, jadi mereka akan terus mengulangi percubaan membawa keluar dadah melalui KLIA.

"Ini antara aspek yang sedang dilihat oleh PDRM, termasuk sama ada wujud penglibatan orang dalam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!