3 lelaki pecah cermin kereta di Desa Mentari ditahan

PETALING JAYA - Seramai tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pecah cermin lima kenderaan di kawasan tempat letak kereta di Desa Mentari di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kesemua suspek itu ditahan sekitar daerah ini pada Selasa.
"Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya pagi ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin media dilaporkan, polis mengesan sekumpulan lelaki yang dipercayai memecahkan cermin lima kenderaan di kawasan tempat letak kereta terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
