Dua lagi suspek ditahan bantu siasatan kes bunuh lelaki diikat jaring

JOHOR BAHRU – Dua lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan dalam keadaan diikat serta dibalut jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Ahad lalu.
Penahanan dua lelaki itu pada Selasa menjadikan keseluruhan lima individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, suspek berusia 33 dan 34 ditahan di sekitar Kluang dan Johor Bahru hasil siasatan susulan yang dijalankan polis.
Menurutnya, mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 10 Ogos ini.
“Sehingga kini, lima individu telah ditahan. Tiga suspek yang ditahan sebelum ini telah direman selama tujuh hari sehingga 10 Ogos, manakala dua lagi suspek yang ditahan semalam turut direman sehingga tarikh yang sama.
“Siasatan masih diteruskan dan polis masih mengesan sekiranya terdapat lagi individu yang terbabit. Saya tidak boleh mengatakan tiada lagi suspek yang masih bebas,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.
Chuan Huat berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah hutang, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek.
“Setakat ini dipercayai salah seorang suspek mempunyai hutang dengan mangsa, manakala individu lain dipercayai mempunyai kaitan sebagai rakan,” katanya.
Mengulas mengenai punca kematian mangsa, beliau berkata, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada Jabatan Forensik sebelum sebarang pengesahan dibuat.
Pada Selasa, polis melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan dibungkus dan diikat menggunakan jaring sebelum terapung di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kini giat melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan individu yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

