Tiga ekor singa di zoo barat Tokyo mati disyaki akibat cuaca panas

TOKYO - Tiga ekor singa di sebuah zoo di Tokyo mati sejak akhir Julai disyaki akibat cuaca panas yang melampau sepanjang musim panas, lapor Kyodo News yang memetik kerajaan metropolitan pada Isnin.
Ketiga-tiga singa berkenaan adalah antara 16 ekor singa yang dipelihara di Taman Zoologi Tama di Hino, barat Tokyo. Haiwan itu didapati mengalami penyahhidratan teruk dan kegagalan pelbagai organ.
Memandangkan singa-singa lain juga mula menunjukkan tanda-tanda sakit, pihak zoo telah menggantung pameran singa sejak 23 Julai lepas.
Menurut kerajaan metropolitan, dua daripada singa berkenaan menunjukkan gejala seperti hilang selera makan dan rawatan dimulakan pada 18 Julai.
Tidak lama kemudian, tanda-tanda penyakit mula kelihatan pada singa-singa lain, dengan sejumlah 10 ekor memerlukan rawatan menjelang 22 Julai.
Kakitangan zoo telah cuba menggunakan kipas, menyembur air dan memberikan ubat-ubatan, namun ketiga-tiga singa itu tidak pulih lalu mati. - Bernama/Kyodo
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
