Saifuddin Abdullah persoal dasar kerajaan mengenai Rohingya

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mempersoalkan asas persetujuan kerajaan untuk menghantar pulang 5,000 pelarian Rohingya ke Myanmar termasuk sama ada pendirian Malaysia berhubung isu itu telah berubah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Myanmar bersetuju menerima semula pelarian Rohingya dari Malaysia menimbulkan beberapa persoalan asas yang perlu dijelaskan kerajaan.

Katanya, sejak sekian lama Malaysia menegaskan sebarang penghantaran pulang pelarian Rohingya mestilah dilakukan secara selamat, sukarela dan bermaruah, selain keadaan di Myanmar perlu benar-benar mengizinkan kepulangan yang berkekalan.

"Adakah ini masih menjadi dasar kerajaan? Jika ya, bagaimanakah kerajaan memastikan bahawa sebarang cadangan penghantaran pulang adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa dan bukan merupakan tindakan 'refoulement'.

"Apakah jaminan konkrit diterima daripada pihak berkuasa Myanmar berhubung kewarganegaraan, status undang-undang, keselamatan, kebebasan bergerak dan perlindungan jangka panjang terhadap Rohingya akan dihantar pulang? Bagaimanakah jaminan tersebut akan disahkan secara bebas?" katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri memaklumkan kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia, hasil rundingan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, keputusan itu merupakan sebahagian usaha kerajaan menangani isu Rohingya yang berlarutan, di samping memastikan ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut mempersoalkan sama ada pendirian Malaysia terhadap junta tentera Myanmar juga telah berubah.

Beliau menambah, Malaysia sebelum ini secara konsisten berpendirian bahawa junta Myanmar tidak mempunyai legitimasi, gagal melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN dan tidak boleh dianggap sebagai sebuah kerajaan normal selagi terus melakukan keganasan terhadap rakyatnya sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Adakah kini kita sedang menormalkan hubungan dengan junta sehingga sanggup mengamanahkan mereka menerima semula golongan yang sebelum ini melarikan diri daripada pembunuhan beramai-ramai, penindasan dan penafian hak secara sistematik? Jika ya, apakah yang telah berubah?" soalnya.

Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu mengakui kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang, namun menegaskan isu Rohingya di Malaysia jauh lebih kompleks dan memerlukan pendekatan dasar menyeluruh.

Beliau berpandangan, kebimbangan rakyat Malaysia perlu diambil kira, namun ia tidak seharusnya dicampuradukkan dengan isu penghantaran pulang ke Myanmar.

Justeru, Saifuddin mengulangi gesaan supaya Menteri Dalam Negeri membentangkan kenyataan menteri di Parlimen mengenai pelaksanaan Arahan No. 23 Majlis Keselamatan Negara (MKN), dasar keseluruhan kerajaan terhadap Rohingya di Malaysia dan langkah menangani isu tersebut secara sah, telus serta selaras dengan prinsip selama ini dipegang negara.

"Parlimen dan rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan yang jelas mengenai isu yang menyentuh komitmen kemanusiaan, konsistensi dasar luar dan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!