Razlan gesa MCMC siasat dakwaan bahan kempen BN disekat, dedah pihak beri arahan

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa menyiasat dakwaan sekatan terhadap bahan kempen dan akaun media sosial penyokong Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii mendakwa, sekiranya sekatan berkenaan dibuat atas permintaan mana-mana pihak, agensi itu perlu menjelaskan perkara berkenaan.
"Penjelasan terbuka perlu diberikan (mengenai) siapa yang mengarahkan, atas alasan apa dan berdasarkan peruntukan undang-undang yang mana," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu beliau turut mendakwa, berlaku pemberian wang kepada anggota beruniform serta bantuan kepada komuniti Orang Asli pada penghujung kempen sebagai usaha mempengaruhi sokongan pengundi.
Bagaimanapun, Razlan menegaskan, segala cabaran yang dihadapi tidak mematahkan semangat jentera BN untuk terus berkempen sehingga hari pengundian.
"Dalam tiga hari terakhir kempen, komuniti Orang Asli pula menjadi sasaran. Mereka seolah-olah dipandang sebagai kelompok yang mudah dipengaruhi dengan wang saku dan hamper berwarna merah yang dilonggokkan di setiap kawasan.
"Bantuan dibawa berlori-lori dengan harapan dapat membeli sokongan namun akhirnya, harapan itu tinggal harapan.
"Akhirnya, pelbagai video tersebar memperlihatkan pengundi dikumpulkan dan dihulurkan 'sumbangan ikhlas' dan diterima dengan hati yang terbuka," ujarnya.
Razlan turut mengakui tempoh dua minggu kempen merupakan fasa yang mencabar buat jentera parti apabila setiap usaha yang digerakkan dianggap mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Menurutnya, selepas isu berkaitan Johor gagal memberi impak kepada pihak lawan, kempen diteruskan dengan menjadikan isu Tabung Haji sebagai modal politik bagi meraih sokongan pengundi Islam.
Beliau berkata, pihak lawan menjalankan kempen berskala besar dengan penggunaan pentas, khemah marquee serta skrin LED, namun menyifatkan pendekatan itu tidak berjaya mempengaruhi sentimen rakyat.
"Dua minggu yang lalu merupakan tempoh yang cukup panjang dan mendebarkan buat kami sebagai penggerak jentera parti. Setiap detik terasa begitu berharga, setiap saat dilalui dengan penuh debaran.
"Masa seakan bergerak perlahan kerana kami sedar akan setiap usaha yang dicurahkan mampu menentukan sebuah kemenangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

