Tergoda upah lumayan, masa depan tergadai

Setiap tahun, pihak berkuasa mendedahkan penahanan individu dipergunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa membawa bahan terlarang merentasi sempadan. Gambar fail
Setiap tahun, pihak berkuasa mendedahkan penahanan individu dipergunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa membawa bahan terlarang merentasi sempadan. Gambar fail
A
A
A

ISTILAH keldai dadah bukan lagi asing di Malaysia. Setiap tahun, pihak berkuasa mendedahkan penahanan individu dipergunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa membawa bahan terlarang merentasi sempadan.

Malangnya sehingga kini, trend itu masih belum menunjukkan tanda-tanda noktah, malah semakin membimbangkan apabila sindiket menggunakan pelbagai taktik baharu bagi memperdayakan mangsa.

Dalam beberapa operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beberapa individu dipercayai keldai dadah yang dijanjikan ganjaran lumayan, pakej percutian dan tiket penerbangan percuma berjaya ditahan.

Nilai rampasan pula mencecah puluhan juta ringgit, sekali gus menggambarkan keuntungan besar dikejar sindiket.

Apa lebih membimbangkan ialah kebanyakan individu direkrut bukan penjenayah tegar.

Ada dalam kalangan mereka merupakan golongan muda, penganggur, pekerja biasa selain pertama kali ke luar negara.

Mereka diumpan melalui media sosial, aplikasi pesanan atau kenalan baharu yang menawarkan pekerjaan mudah dengan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 hanya untuk membawa bagasi atau bungkusan ke destinasi tertentu.

Namun, hakikatnya mereka sedang mempertaruhkan masa depan sendiri.

Sindiket pula semakin licik. Mereka tidak lagi bergantung kepada satu kaedah penyeludupan, sebaliknya menggunakan pelbagai helah termasuk menyembunyikan dadah dalam bagasi, barangan peribadi, makanan, kosmetik dan peralatan elektronik.

Artikel Berkaitan:

Lebih memburukkan keadaan, sesetengah mangsa mendakwa tidak mengetahui kandungan sebenar bagasi dibawa kerana mempercayai sepenuhnya arahan pihak yang menawarkan pekerjaan.

Persoalannya, mengapa masih ramai sanggup mengambil risiko sedangkan hukuman bagi kesalahan mengedar dadah amat berat?

Jawapannya sering berkait dengan tekanan ekonomi, peluang pekerjaan terhad, sikap mahu memperoleh wang segera serta kurangnya kesedaran mengenai modus operandi sindiket.

Dalam keadaan kos sara hidup meningkat, tawaran pendapatan lumayan dalam tempoh singkat mudah mempengaruhi individu terdesak.

Walaupun penguatkuasaan perlu terus diperkasa, pendekatan pencegahan juga tidak boleh dipandang ringan.

Kempen kesedaran perlu diperluaskan khususnya kepada golongan belia, pelajar institusi pengajian tinggi dan mereka yang sering menerima tawaran bekerja di luar negara.

Amaran risiko menjadi keldai dadah perlu disampaikan secara berterusan melalui sekolah, universiti, media massa dan platform digital.

Selain itu, kerjasama rentas sempadan antara agensi penguat kuasa perlu dipertingkatkan bagi mengesan rangkaian sindiket sehingga ke dalang utama.

Selagi ketua sindiket terus bebas, selagi itulah individu baharu akan direkrut menggantikan mereka yang ditahan.

Tumpuan tidak seharusnya hanya kepada keldai dadah semata-mata, tetapi juga kepada rangkaian kewangan dan penggerak utama kegiatan tersebut.

Masyarakat juga mempunyai tanggungjawab bersama. Sikap terlalu mudah mempercayai tawaran pekerjaan yang menjanjikan pendapatan luar biasa tanpa proses yang jelas perlu dihentikan.

Setiap individu harus lebih berhati- hati apabila diminta membawa bagasi milik orang lain atau menerima hadiah tidak diketahui kandungannya, terutama ketika melakukan perjalanan ke luar negara.

Kesimpulannya, isu keldai dadah bukan sekadar masalah jenayah, tetapi turut melibatkan aspek sosial, ekonomi dan pendidikan.

Selagi masih ada pihak yang mudah terpedaya dengan janji wang segera, selagi itu sindiket akan terus mencari mangsa baharu.

Justeru, gabungan penguatkuasaan yang tegas, pendidikan berterusan dan kesedaran masyarakat menjadi benteng terbaik memastikan Malaysia tidak terus dijadikan medan operasi sindiket dadah antarabangsa.

* Zulhilmi Hat ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!