'Apabila ego diketepikan, lahirlah satu kekuatan yang tidak mampu dibina bersendirian' - MB Kelantan

Mohd Nassaruddin semasa hadir pada proses penjumlahan undi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu. Foto FB Datuk Mohd Nassuruddin Daud
Mohd Nassaruddin semasa hadir pada proses penjumlahan undi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu. Foto FB Datuk Mohd Nassuruddin Daud
A
A
A

KOTA BHARU - Penyatuan Pas dan UMNO disifatkan sebagai kemenangan ummah yang lahir daripada perjuangan panjang, sekali gus menjadikan Negeri Sembilan sebagai 'guru politik baharu' kepada landskap politik negara, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, penyatuan itu bukan sekadar kemenangan sebuah gabungan politik, sebaliknya kejayaan menterjemahkan cita-cita yang sekian lama diperjuangkan demi agama, bangsa dan negara.

"Terima kasih Negeri Sembilan kerana menjadi guru politik baharu.

"Penyatuan ini bukan sekadar kemenangan sebuah gabungan politik. Ia adalah kemenangan sebuah cita-cita yang sekian lama dipanjatkan dalam doa, diperjuangkan dengan air mata dan dipertahankan dengan penuh kesabaran," katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya pada Ahad.

Mohd Nassuruddin berkata, kejayaan itu tidak seharusnya diraikan atas dasar siapa lebih hebat atau lebih berjasa, sebaliknya menjadi simbol kembalinya ukhuwah yang meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi segala perbezaan.

Ujarnya, kemenangan yang diperoleh juga hadir bersama amanah besar selepas rakyat memberikan kepercayaan menerusi peti undi.

"Semakin besar kemenangan yang dikurniakan ALLAH SWT, semakin besar amanah yang wajib dipikul.

"Kini menjadi tanggungjawab kita untuk menterjemahkan harapan rakyat kepada sebuah pentadbiran yang berintegriti, adil, prihatin dan benar-benar membela kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata, penyatuan dua kekuatan besar itu membuktikan bahawa persaudaraan yang mengatasi ego mampu melahirkan kekuatan lebih ampuh berbanding bergerak secara bersendirian.

Artikel Berkaitan:

"Sesungguhnya, penyatuan dua kekuatan besar ini membuktikan bahawa apabila ego diketepikan, persaudaraan diutamakan dan matlamat perjuangan disatukan, lahirlah satu kekuatan yang tidak mampu dibina oleh mana-mana pihak secara bersendirian.

"Inilah makna sebenar penyatuan ummah bukan sekadar bersatu ketika menang, tetapi terus berpimpin tangan ketika memikul amanah," katanya.

Beliau turut mendoakan agar ikatan yang terjalin terus dipelihara, dikurniakan keikhlasan serta menjadi pemangkin kepada lahirnya negeri yang lebih makmur, negara yang lebih kukuh dan ummah yang lebih bersatu.

"Biarlah sejarah mencatat bahawa kemenangan ini bukan kerana kuatnya satu parti, tetapi kerana bersatunya hati-hati yang mengutamakan ummah.

"Kerana sebuah penyatuan yang lahir kerana ALLAH, insya-ALLAH akan terus dipelihara oleh ALLAH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!