Pendaki legenda maut dalam runtuhan salji

SKARDU – Pendaki gunung terkenal dunia, Nirmal Purja bersama sembilan anggota ekspedisinya maut selepas terperangkap dalam runtuhan salji ketika melakukan pendakian di Gunung Broad Peak, utara Pakistan.
Syarikat pengurusan ekspedisi Purja, Elite Expeditions, mengesahkan kematian pendaki berusia 43 tahun itu pada Sabtu selepas operasi mencari dan menyelamat berdepan keadaan cuaca buruk serta bentuk muka bumi yang mencabar.
“Dengan penuh kesedihan dan dukacita, kami mengesahkan Nirmal Purja kehilangan nyawanya secara tragis akibat runtuhan salji di Broad Peak,” kata syarikat itu menerusi kenyataan di media sosial.
Runtuhan salji berlaku pada Khamis ketika ekspedisi antarabangsa yang diketuai Purja sedang menuju ke puncak Broad Peak, menyebabkan hubungan dengan pasukan itu terputus.
Kerajaan wilayah Gilgit-Baltistan memaklumkan beberapa mayat yang ditemui telah diterbangkan menggunakan helikopter ke hospital bagi proses pengecaman rasmi.
Antara mangsa yang dikenal pasti setakat ini termasuk seorang wanita warga Amerika Syarikat, seorang wanita Oman dan seorang lelaki Nepal.
Penasihat Perdana Menteri Pakistan bagi penyelarasan wilayah, Rana Sanaullah berkata, empat mayat telah ditemui setakat Sabtu, manakala operasi mencari baki mangsa masih diteruskan menggunakan pasukan udara, darat dan sistem pengesanan lokasi walaupun berdepan cuaca buruk.
“Tragedi Broad Peak amat menyayat hati. Pakistan berdiri bersama rakyat Nepal dalam waktu kesedihan ini,” katanya.
Operasi menyelamat dilakukan oleh tentera Pakistan bersama pendaki altitud tinggi tempatan serta pasukan penyelamat.
Purja, seorang pendaki warga Britain-Nepal, pernah berkhidmat dalam pasukan Brigade Gurkha Britain sebelum menyertai unit khas Marin Diraja Britain.
Beliau mencipta sejarah apabila berjaya menawan kesemua 14 puncak gunung berketinggian lebih 8,000 meter dalam tempoh enam bulan enam hari pada 2019, satu rekod dunia ketika itu.
Pendaki itu turut berhasrat menjadi individu pertama yang menawan semua 14 puncak super dunia sebanyak dua kali tanpa menggunakan bantuan oksigen tambahan.-AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
