DAP Negeri Sembilan sebulat suara mahu Anthony kekal pengerusi

SEREMBAN - Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan menyatakan solidariti dan sokongan penuh terhadap Anthony Loke Siew Fook untuk terus menerajui DAP Negeri Sembilan sebagai pengerusi.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, mereka sebulat suara memohon agar Setiausaha Agung DAP terus memimpin parti itu di Negeri Sembilan.
Menurutnya, kepimpinan Anthony telah terbukti dan diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam sejarah DAP Negeri Sembilan.
"Bermula dengan hanya dua kerusi pada tahun 2004, kepimpinan berwibawa beliau telah melonjakkan DAP Negeri Sembilan ke tahap yang dihormati oleh kawan dan lawan.
"Kekalahan di kerusi Chennah dan Repah memang mendatangkan kekecewaan kepada kami, tetapi ia bukan salah Anthony, dan beliau tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan dengan kekalahan ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Jelasnya, DAP Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan berkarisma daripada Anthony untuk menghadapi cabaran masa depan termasuk Pilihan Raya Umum ke-16.
Selain itu katanya,analisis awal keputusan PRN kali ini menunjukkan calon-calon Pakatan Harapan(PH) dan DAP masih mendapat sokongan dalam kalangan penyokong tegar parti itu, meskipun menghadapi pihak lawan yang dilihat memainkan isu perkauman.
"Saya telah telah berbincang dengan semua Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan dan semua sebulat suara memohon agar beliau terus memimpin DAP Negeri Sembilan," katanya.
Sebelum ini Anthony dilaporkan berkata akan mempertimbangkan untuk meletak jawatan sebagai pengerusi parti itu di Negeri Sembilan.
Keputusan tersebut dibuat bagi mengambil tanggungjawab susulan prestasi DAP dalam Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

