Belum masa bubar Parlimen, PKR perlu pulih sokongan rakyat – Hassan Karim

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengelak tindakan tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ketika momentum politik masih dipengaruhi rentetan kekalahan di beberapa negeri.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan mengadakan PRU16 dalam masa terdekat berisiko memberi kesan besar kepada kerajaan Pusat serta jentera parti kerana masih terkesan dengan keputusan pilihan raya di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, PKR perlu memberi ruang kepada Kerajaan Madani mentadbir sehingga tempoh mandat penuh sebelum mempertimbangkan pembubaran Parlimen.

“Jangan menangis PKR. Anda parti reformasi. Kita orang perjuangan. Kita berani berjuang, berani menang dan berani kena tendang.

"Cakap baik-baik pada Anwar Ibrahim dari perspektif strategi politik pilihan yang tepat agar Kerajaan Madani mentadbir kerajaan Pusat hingga tempoh penuh, seandainya PKR dan Pakatan Harapan (PH) hendak menang dalam PRU16.

"Kalau nak kalah, buatlah PRU16 secara mengejut supaya PKR terutamanya mati terkejut!," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Di Negeri Sembilan pula, PH kehilangan beberapa kerusi apabila Barisan Nasional (BN) memperoleh 18 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi, berbanding 11 kerusi yang dimenangi PH.

Di Johor, BN mencatat kemenangan besar dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH hanya memenangi lapan kerusi termasuk satu kerusi PKR di DUN Puteri Wangsa.

Manakala di Sabah, PKR menpertaruhkan 12 calon DUN, bagaimanapun hanya memenangi satu kerusi saja di DUN Melalap.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hassan lagi, PKR perlu mengambil masa untuk berehat selepas melalui tempoh kempen yang panjang sebelum menyusun strategi baharu bagi menghadapi PRU16.

Beliau seterusnya berpandangan tempoh antara 12 hingga 18 bulan sebelum PRU16 mampu memberi ruang kepada kerajaan memperkukuh ekonomi negara serta memulihkan keyakinan rakyat.

"Dalam tempoh itu, keletihan rakyat sebagai pengundi akan beransur hilang dan momentum parti-parti lawan akan berkurangan kerana masa.Tidakkah "masa itu merawat luka"?

"Dari segi ekonomi pun baik bagi PKR dan PH, jika ada tempoh yang panjang misalnya 12 hingga 18 bulan.

"Dalam waktu panjang itu, banyak pelaburan asing (FDI) yang baik-baik untuk negara ini boleh masuk," katanya lagi.

Beliau turut yakin keadaan ekonomi yang lebih baik mampu membantu PH dan PKR menghadapi PRU16 apabila rakyat melihat hasil dasar kerajaan.

"Saya percaya dalam tempoh setahun lebih ini sebelum PRU16, kegelisahan dan kemarahan rakyat akan reda apabila dasar-dasar ekonomi makro Anwar Ibrahim menghasilkan kesan yang melegakan rakyat di semua lapisan dan golongan.

"Ketika itu bubarkanlah Parlimen ke-15 apabila rakyat telah nampak ekonomi Malaysia sebenarnya berada di landasan yang betul," tambahnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!