RCI Tabung Haji: Lantikan ahli politik aktif mesti berasaskan merit - Mohd Redza

SHAH ALAM - Individu yang masih aktif memegang jawatan politik tidak wajar dilantik sebagai pengerusi lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang berteraskan kewangan Islam bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
Pengerusi Persatuan Senior Kewangan Islam (ARIF), Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, jawatan tersebut sewajarnya disandang oleh individu yang bebas daripada pengaruh politik semasa, berkredibiliti serta mempunyai pengalaman korporat yang relevan demi memastikan tadbir urus institusi kekal telus dan profesional.
Bagaimanapun menurut beliau, sekiranya kerajaan memilih untuk melantik individu yang masih aktif dalam politik sebagai ahli lembaga, mereka hendaklah memenuhi standard kompetensi profesional yang setara dengan pengarah korporat lain.
"Mereka sewajarnya mengikuti program pensijilan dan pembangunan profesional melalui institusi seperti Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM) atau badan profesional yang setaraf.
"ARIF percaya bahawa pelantikan berdasarkan merit, kompetensi, integriti dan kebebasan merupakan prinsip asas yang perlu dijadikan amalan dalam semua GLC dan GLIC berteraskan kewangan Islam.
"Tadbir urus yang baik bukan sahaja melindungi aset negara, malah memastikan amanah rakyat diurus secara telus, profesional dan bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan.
Kenyataan tersebut susulan pelbagai dapatan dan syor yang dikemukakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.
Mohd Redza berkata, laporan tersebut wajar dilihat sebagai satu pengajaran penting untuk memperkukuhkan tadbir urus institusi kewangan Islam serta syarikat GLC dan GLIC yang berteraskan kewangan Islam pada masa hadapan.
"Pendekatan ini perlu dilaksanakan secara matang, profesional dan berpandangan jauh demi memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi yang mengurus amanah awam.
"ARIF ingin menegaskan bahawa pelantikan ke jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC serta GLIC berteraskan kewangan Islam hendaklah dilihat sebagai satu amanah besar kepada rakyat dan pemegang kepentingan," katanya.
Justeru, tegas beliau, ahli lembaga juga perlu mempunyai kefahaman kewangan Islam yang mencukupi
"Institusi seperti Tabung Haji dan institusi kewangan Islam lain beroperasi berdasarkan prinsip kewangan Islam dan tadbir urus khusus.
"Oleh itu, setiap pengerusi dan ahli lembaga perlu mempunyai tahap kefahaman yang mencukupi mengenai operasi kewangan Islam, pengurusan risiko, tadbir urus dan tanggungjawab fidusiari.
"Program orientasi, latihan dan pembangunan profesional yang berterusan hendaklah diwajibkan bagi memastikan keputusan yang dibuat selaras dengan objektif institusi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
